Pemimpin Amanah berhak beri pandangan - Mat Sabu

Mohamad - Foto Bernama
Mohamad - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) berhak menyuarakan pandangan meskipun mereka terikat dengan perlembagaan parti, kata Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Bagaimanapun beliau berkata, dalam konteks organisasi, pandangan berkenaan tidak mewakili parti tersebut kerana sebarang keputusan rasmi hanya diputuskan dalam mesyuarat.

“Amanah, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau DAP yang bergabung di dalam Pakatan Harapan (PH) tertakluk kepada keputusan gabungan yang perlu diutamakan jika bercanggah dengan keputusan parti.

“Begitu juga dalam konteks Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hari ini, keputusan di peringkat gabungan mengatasi keputusan parti-parti atau pakatan politik masing-masing dan ia perlu diutamakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas mengenai pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Mohamad berkata, semua pihak perlu menghormati sebarang keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kuasa tertinggi yang mempunyai hak untuk membuat keputusan adalah hak Seri Paduka Baginda.

“Bagaimanapun, semua pihak yang menyuarakan pandangan dalam isu ini sayang kepada Kerajaan Perpaduan dan perlu memberi fokus kepada khidmat kepada rakyat sebagaimana yang diamanahkan,” ujarnya.

Baru-baru ini, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad merayu agar rayuan pengampunan terhadap Najib ditolak.

Ujar beliau, pengampunan untuk Najib membawa satu gambaran tidak baik kepada rakyat berhubung sistem keadilan negara dan juga seluruh dunia berhubung nilai integriti.

Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pengampunan terhadap Najib merupakan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

Justeru, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berharap mana-mana parti politik terutama yang bersahabat dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak sepatutnya memberikan komen mengenai pengampunan Najib.