Pas akan putuskan cadangan penyatuan dengan UMNO

Pas akan memutuskan cadangan penyatuan dengan UMNO melalui saluran rasmi parti.
Pas akan memutuskan cadangan penyatuan dengan UMNO melalui saluran rasmi parti.
A
A
A

PUTRAJAYA – Pas akan memutuskan cadangan penyatuan muafakat politik antara UMNO dan parti itu melalui saluran rasmi parti sebelum sebarang ketetapan dibuat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun parti itu menyambut baik hasrat penyatuan ummah, keputusan mengenainya perlu dibincangkan secara kolektif dalam kerangka kepimpinan.

“Pas menyambut baik penyatuan ummah. Apa pun, perkara ini akan diputuskan dalam parti dan kerangka lebih besar perlu diusahakan, bukan hanya di peringkat negeri Melaka sahaja. Tetapi ianya suatu permulaan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh agar penyatuan Melayu antara dua parti terbesar, UMNO dan Pas perlu disegarakan bermula di Melaka dan bukan sekadar strategi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, gagasan penyatuan ummah telah lama dinyatakan oleh Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang selaras dengan perintah ALLAH SWT.

"Apa yang penting ialah penyatuan bukan hanya dalam konteks bangsa tetapi ianya meliputi usaha menegakkan keadilan, integriti dan tadbir urus yang baik.

"Pembinaan jati diri ummah akan lebih mudah diusahakan bilamana penyatuan umat dapat dilaksanakan," tegas beliau.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pemuda Pas Pusat, Mohamed Sukri Omar turut menyatakan pandangan sama dengan apa yang disifatkannya sebagai sesuatu yang wajar diusahakan demi memperkukuh kedudukan Melayu-Islam serta menjamin kestabilan negara.

Menurutnya, dalam suasana politik semasa, kaum Melayu serta Islam memerlukan kestabilan selain kesatuan fikrah berteraskan prinsip serta kepentingan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Secara prinsipnya, saya senada bahawa penyatuan dan muafakat politik antara UMNO dan Pas adalah sesuatu yang wajar diusahakan, khususnya dalam kerangka memperkukuh kedudukan Melayu Islam serta menjamin kestabilan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya, bukan untuk kepentingan parti semata-mata," jelas beliau.

Ringkasan AI

  • Pas akan memutuskan cadangan penyatuan dengan UMNO melalui saluran rasmi parti
  • Penyatuan ummah disambut baik dan harus dibincangkan dalam kerangka kepimpinan parti
  • Permulaan penyatuan dicadangkan bermula di Melaka oleh Ketua Pemuda UMNO
  • Penyatuan bukan hanya untuk bangsa tetapi juga menegakkan keadilan dan integriti
  • Penyatuan UMNO dan Pas dianggap wajar untuk memperkukuh kedudukan Melayu-Islam dan kestabilan negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!