Annuar Musa bakal sertai Pas

Salamiah (tiga dari kiri) selaku ahli panel yang diundang untuk membicarakan topik Konflik Politik Melayu menerusi program Wacana Sinar siri 393 pada Selasa.
Salamiah (tiga dari kiri) selaku ahli panel yang diundang untuk membicarakan topik Konflik Politik Melayu menerusi program Wacana Sinar siri 393 pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Ketua Dewan Muslimat Pas, Salamiah Mohd Nor mendedahkan Tan Sri Annuar Musa bakal menjadi ahli Pas sekali gus membuktikan bahawa parti berkenaan adalah bersifat terbuka.

Menurutnya, walaupun belum ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh parti, tetapi ada ura-ura mengatakan bahawa bekas Setiausaha Agung BN itu akan menyertai Pas.

“Setakat ini, walaupun belum diumumkan secara rasmi lagi, Tan Sri Annuar Musa bakal menyertai Pas.

“Saya juga ingin menjelaskan bahawa Pas merupakan sebuah parti politik yang mengamalkan keterbukaan kepada sesiapa sahaja mahu menyertainya.

Salamiah
Salamiah

“Pas akan menerima mana-mana individu yang boleh menggalas tanggungjawab dan kita akan beri mereka bertanding atas tiket parti,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar siri 393 bertajuk Konflik Politik Melayu yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panel ialah Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dan Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Salamiah menegaskan bahawa Pas dan Perikatan Nasional bukanlah sebuah parti yang bersifat perkauman seperti yang dilaporkan di media massa.

Jelasnya, berdasarkan aspek dasar Islam dan perjuangan, Pas merupakan sebuah parti berteraskan al-Quran dan sunah yang membawa kepada perpaduan ummah.

“Jadi mustahil menyifatkan Pas sebagai parti yang menolak perpaduan kerana sebelum ini kita sudah ada Gagasan Sejahtera, barisan alternatif dan juga berada dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

“Kita boleh menerima mana-mana parti asalkan mereka menghormati dan menerima prinsip perjuangan parti Islam,” jelasnya.

Pada masa sama, Salamiah turut menolak dakwaan berhubung kegagalan tadbir urus kerajaan Kelantan.

Beliau berkata, adalah mustahil untuk Pas mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 jika kerajaan itu gagal mentadbir.

“Pas sudah memegang Kelantan selama 33 tahun bermula dari tahun 1990. Sekiranya ia tidak menepati kehendak rakyat, sudah pasti parti ini mengalami kejatuhan,” ujarnya.