Aidilfitri: 80 peratus anggota bomba di Terengganu bertugas

Hassan 'As'ari (empat dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada enam beradik yatim piatu yang merupakan anak angkat bomba Terengganu di sini pada Isnin.
Hassan 'As'ari (empat dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada enam beradik yatim piatu yang merupakan anak angkat bomba Terengganu di sini pada Isnin.
A
A
A

KEMAMAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Terengganu membenarkan hanya 20 peratus dari 806 pegawai dan anggotanya bercuti pada Aidilfitri tahun ini.

Pengarahnya, Hassan 'As'ari Omar berkata, baki 80 peratus anggota lagi perlu bertugas seperti biasa sebagai persediaan untuk menghadapi kes kecemasan yang dijangka meningkat ketika musim perayaan.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman lalu, statistik menunjukkan kejadian melibatkan kes kebakaran dan kemalangan jalan raya sering bertambah semasa Aidilfitri dan JBPM sudah melakukan persediaan sewajarnya.

"Kita telah melancarkan Ops Raya dan kempen keselamatan kebakaran sempena hari raya sebagai peringatan serta kesedaran kepada rakyat negeri ini tentang kepentingan keselamatan kebakaran ketika perayaan.

"Oleh itu kita nasihatkan orang ramai yang semakin sibuk buat kuih raya dan memasak juadah lebaran supaya sentiasa waspada dengan memastikan api dipadam ketika meninggalkan dapur, jika guna peralatan elektrik pastikan suisnya ditutup selepas guna.

"Bagi pengguna jalan raya pula, jumlah kenderaan akan meningkat dan oleh itu, hati-hati ketika memandu. Sekiranya letih dan mengantuk, berhentilah untuk berehat dan tidur seketika di hentian bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan wang tunai, hamper dan kuih raya kepada enam beradik yang merupakan Anak Angkat Bomba Terengganu di Kampung Geliga di sini pada Isnin.

Ia merupakan sumbangan ikhlas dari seluruh warga JBPM Terengganu kepada enam anak Allahyarham Suhaimi Awang dan isterinya Norhayati Sulung yang meninggal dunia selepas dihanyutkan arus deras selepas bot dinaiki mereka terbalik dalam kejadian di Kampung Geliga Che Akob pada Disember 2014.

Nor Syafiqah Syahira, 21; Nor Izah Insyirah, 20; Muhammad Ifran Irshad, 18; Nur Intisar Iedihar, 15; Muhammad Aqil Amsyar, 13; dan Nor Adifa Arissa, 9, kini tinggal bersama bapa saudara mereka.

Lawatan sempena Hari Raya Aidilfitri tersebut turut dihadiri Pegawai Kanan JBPM sebagai tanda keprihatinan, kecaknaan bomba kepada anak angkat jabatan itu selain bagi memberi suntikan dan semangat untuk meneruskan hari mendatang.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.30 petang itu, pasangan berkenaan bersama tiga anggota bomba dan tiga mangsa banjir lain sedang berada dalam proses pemindahan kerana kediaman mereka ditenggelami air.

Namun demikian, bot mereka kemudiannya terperangkap dalam pusaran air, lantas mengakibatkan ia terbalik. Pasangan tersebut terus dihanyutkan arus, manakala keenam-enam individu lain sempat berpaut pada pokok berhampiran.