Mayat wanita dalam bagasi bukan warga Malaysia

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Kamarul Zaman
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Gambar kecil: Kamarul Zaman
A
A
A

JOHOR BAHRU – Polis percaya mayat yang ditemukan dalam sebuah beg bagasi di Kios Perhentian Bas Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) pada Selasa, bukan warganegara Malaysia.

Ia berikutan tidak ada kesan parut akibat suntikan Bacilus Calmette-Guerin (BCG).

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, perkara itu merupakan sebahagian daripada maklumat yang diperoleh setakat ini berhubung penemuan mayat berkenaan.

“Ada beberapa maklumat yang kita perolehi...kita tahu mayat tersebut adalah tidak ada BCG, bukan warganegara kita.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dibuat dan pihak hospital akan membantu untuk mengesan beberapa lagi maklumat,” katanya kepada pemberita.

Kamarul Zaman berkata demikian ketika ditemui sempena program Kempen Keselamatan Jalan Raya Jabatan Siasatan Polis Trafik Johor bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial di laluan motosikal Plaza Tol Perling, pada Jumaat.

Selasa lalu, polis menemukan rangka, dipercayai mayat seorang wanita dalam sebuah beg bagasi di Kios Perhentian MPKu di hadapan bangunan Tenaga Nasional Berhad.

Kamarul Zaman menyarungkan topi keledar kepada salah seorang penunggang motosikal sempena program Kempen Keselamatan Jalan Raya Jabatan Siasatan Polis Trafik Johor bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial di laluan motosikal Plaza Tol Perling pada Jumaat.
Kamarul Zaman menyarungkan topi keledar kepada salah seorang penunggang motosikal sempena program Kempen Keselamatan Jalan Raya Jabatan Siasatan Polis Trafik Johor bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial di laluan motosikal Plaza Tol Perling pada Jumaat.

Hasil bedah siasat di Hospital Sultanah Aminah mendapati mayat berkenaan sudah berusia lebih daripada dua minggu dan terdapat kecederaan di bawah kulit di bahagian kepala.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, perkara berkenaan masih dalam siasatan polis bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Bagaimanapun, Kamarul Zaman turut tidak menolak kemungkinan mayat berkenaan dipotong kepada beberapa bahagian sebelum diletakkan ke dalam beg.

“Mayat ni macam dipotong sebelum letak dalam beg...selain itu untuk ada beberapa bahagian lain yang tapi kebanyakannya di kepala.

“Kita juga masih menyiasat apakah perbuatan ini melibatkan lebih daripada seorang dan modus operandi biasanya melibatkan motif dendam; tapi apa pun perkara ini masih lagi dalam siasatan polis,” kataya.