Rangka mayat wanita ditemui dalam bagasi

Lokasi penemuan rangka mayat seorang wanita dalam sebuah bagasi di sebuah hentian bas di Kulai pada Selasa. Gambar kecil: Rangka mayat wanita yang ditemukan dalam sebuah beg bagasi.
Lokasi penemuan rangka mayat seorang wanita dalam sebuah bagasi di sebuah hentian bas di Kulai pada Selasa. Gambar kecil: Rangka mayat wanita yang ditemukan dalam sebuah beg bagasi.
A
A
A

KULAI - Rangka mayat seorang wanita ditemukan dalam sebuah bagasi di sebuah hentian bas di hadapan bangunan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kulai pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang lelaki berhubung penemuan rangka mayat itu pada jam 1.50 petang.

Menurutnya, ketika ditemui rangka mayat berkenaan sudah mereput lebih daripada 50 peratus selain berulat.

"Rangka mayat tersebut kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru bagi proses bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati jantina mayat berkenaan adalah seorang wanita berusia anggaran 25 tahun, dengan terdapat kesan kecederaan di bawah kulit bahagian kepala.

“Wanita itu dipercayai telah dibunuh lebih dua minggu lalu, bagaimanapun punca kematian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Beng Yeow, siasatan berhubung kes itu dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pesalah boleh dikenakan hukuman mati.

“Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Sivachandran di talian 016-2850204,” jelasnya.