[VIDEO] Ancaman gajah, penduduk hidup ketakutan

Penduduk Kampung Pinang menunjukkan kesan kemusnahan tanaman disebabkan serangan gajah liar.
Penduduk Kampung Pinang menunjukkan kesan kemusnahan tanaman disebabkan serangan gajah liar.
A
A
A

PADANG TERAP - Penduduk di Kampung Pinang, Pedu, di sini, dilanda keresahan dengan kehadiran gajah liar yang memusnahkan kawasan kebun mereka sejak lima bulan lepas.

Penduduk mendakwa kumpulan gajah liar itu bertindak menolak pintu pagar kebun tersebut sehingga tumbang dan memusnahkan sebahagian hasil tanaman mereka.

Penduduk, Mohamad Shaari, 50, berkata, ada penduduk melihat kelibat haiwan liar itu memasuki kebun memusnahkan tanaman sebelum menemui kesan tapak kaki dan najis gajah di kawasan tersebut.

Disebabkan itu, Mohamad berkata, mereka kini hidup dalam ketakutan termasuk untuk ke kebun apabila pokok ditanam mereka musnah angkara haiwan liar itu.

"Masalah utama di kawasan ini adalah gajah liar (dibimbangi) masuk ke kampung (hingga) mengancam nyawa penduduk.

"Bukan setakat tanaman, masalah pada bulan puasa ini penduduk tidak dapat keluar menoreh (disebabkan takut), hendak buat kerja lain pun tidak boleh," katanya ketika ditemui pemberita di kawasan kebun Kampung Pinang pada Khamis.

Penduduk menunjukkan kesan tapak kaki gajah yang menyerang kebun di Kampung Pinang.
Penduduk menunjukkan kesan tapak kaki gajah yang menyerang kebun di Kampung Pinang.

Menurutnya, pelbagai jenis tanaman terutamanya pokok pisang, kelapa sawit dan getah dirosakkan sekumpulan haiwan liar tersebut.

"Selepas ini akan masuk musim buah-buahan maka gajah ini (dikhuatiri) lebih mengancam dan mengamuk disebabkan kumpulan gajah ini ada anaknya, sebab itu kita bimbang lagi," katanya.

Mohamad berkata, kumpulan gajah liar yang membawa anak biasanya lebih agresif hingga menyebabkan penduduk tidak berani ke kebun masing-masing.

Lebih menakutkan, katanya, kawasan kebun yang diserang sekumpulan gajah liar sejak beberapa hari lepas hanya kira-kira 300 meter (m) dari kawasan penempatan penduduk.

"Mujurnya, ada kawasan sungai jadi penghalang gajah yang mana jika air tidak buka maka gajah akan sampai ke kampung," katanya.

Sementara itu, Shabari Abdul Rahman, 54, berkata, dia sendiri berdepan dengan detik mencemaskan apabila bertemu dengan haiwan tersebut ketika ke kebunnya.

"Dua tiga malam sekali mesti jumpa. Takut itu ada tetapi kita terpaksa (menunggu di kebun) untuk menjaga tanaman kita.

"Selain kerosakan tanaman, kita takut ancaman nyawa. Saya sekurang-kurangnya ada senjata juga, tetapi saya orang bimbang keselamatan orang menoreh getah yang ke kebun jam 2 pagi," katanya.

Seorang lagi penduduk, Muhamad Harun, 56, memberitahu, ancaman gajah itu berlaku sejak beberapa bulan lepas apabila kebun yang diusahakan dengan tanaman pokok pisang musnah hingga menyebabkan kerugian ribuan ringgit.

"Sekali jual dalam 20 tandan (pisang) dengan anggaran satu minggu, penduduk sepatutnya meraih hasil lebih RM1,000. Jadi, dalam sebulan anggaran kerugian antara RM4,000 hingga RM5,000," katanya.

Menurut pekebun itu, serangan kumpulan gajah liar terbabit didapati semakin kerap sejak beberapa hari lepas dengan kejadian terbaru berlaku pada Rabu.

Sehubungan itu, Muhammad berkata, penduduk berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!