Halau gajah guna bunyi dengung perlu kajian di Malaysia

Abdul Kadir
Abdul Kadir
A
A
A

SHAH ALAM - Kaedah menghalau gajah dengan kaedah mengeluarkan bunyi dengung masih memerlukan kajian di Malaysia atas beberapa faktor.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, 'buzzing' atau dengung yang dihasilkan oleh lebah atau dron memang boleh mengejutkan atau menakutkan gajah.

"Kaedah menghalau gajah menggunakan kaedah dron atau dari sarang lebah (bee hive fencing) memang ada dijalankan di Afrika.

"Namun, amalan teknik ini di Malaysia memerlukan kajian lanjut kerana perbezaan vigitasi, bentuk muka bumi serta spesies lebah yang berbeza dengan di Afrika," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, setakat ini kajian sedemikian masih belum dijalankan di Malaysia.

Bagaimanapun, kata Abdul Kadir, cadangan mengenai perkara ini berada di fasa awal.

"Memang ada cadangan kajian dijalankan dengan kerjasama pihak Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) berkaitan penggunaan 'bee hive fencing' tetapi masih di peringkat perbincangan awal," ujarnya.

Pada Rabu, media tempatan melaporkan sekumpulan saintis telah menemui cara untuk mengelakkan gajah daripada merosakkan tanaman di ladang iaitu dengan mengeluarkan bunyi dengung.

Kaedah itu bukan sahaja mampu mengelak manusia daripada memukul dan menjerit ke arah gajah, malah menghindari kematian akibat diserang haiwan tersebut.

Menerusi rakaman kejadian, gajah yang sedang memakan tanaman kelihatan berang dan terkaku apabila mendengar bunyi berdengung yang dipasang sebelum melarikan diri.