Kes kematian denggi meningkat 400 peratus

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes kematian akibat denggi di seluruh negara mencatat peningkatan 400 peratus sehingga minggu ke-12 tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peningkatan itu melibatkan 17 kes kematian berbanding hanya empat kes untuk tempoh sama tahun lalu.

Beliau memaklumkan, jumlah keseluruhan kes jangkitan demam denggi merekodkan peningkatan sehingga 223 peratus membabitkan 26,222 kes bagi tempoh sama tahun ini, berbanding 8,214 kes pada 2022.

"Selepas 2019, baru hari ini kita adakan mesyuarat (Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi) dan kita sering mengambil ringan perkara sebegitu. Jadi kerajaan Madani tidak akan mengambil ringan lagi," katanya pada sidang akhbar selepas mempengurusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi di bangunan Parlimen pada Selasa.

Dalam pada itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan, Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi yang ditubuhkan pada 2014 diaktifkan semula bagi melaksanakan tindakan bersepadu sebagai usaha pencegahan serta kawalan denggi.

Jawatankuasa berkenaan membabitkan 12 kementerian, semua Pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri serta Jabatan Wilayah Persekutuan.

"Mesyuarat hari ini juga memutuskan Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi dijenamakan semula kepada Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi supaya selaras dengan jawatankuasa kabinet yang lain, selain akan bermesyuarat dua kali setahun.

"Selain itu penjenamaan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Peringkat Kementerian kepada 'Jawatankuasa Peringkat Tinggi Menangani Denggi' membabitkan semua kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid menjelaskan, jawatankuasa berkenaan tidak akan memohon peruntukan tambahan bagi melaksanakan sebarang tindakan pencegahan, namun menggunakan pendekatan tanggujawab sosial korporat (CSR) untuk memobilisasi menggunakan aset Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di luar musim banjir.

Selain itu katanya, kerajaan akan melaksanakan pendekatan terbaharu bagi memastikan negara mencapai kadar sifar denggi.

“Untuk itu kaedah menggunakan biogel bagi memerangkap dan mematikan nyamuk aedes telah dilakukan dan akan diperluaskan tanpa menambah peruntukan.

“Selain itu turut dilakukan kaedah nyamuk ‘Wolbachia’ bagi melawan nyamuk aedes, ini adalah satu kaedah baharu yang secara puratanya lebih murah.

“Perbelanjaan keseluruhan bagi menangani penyakit ini sekitar RM240 juta setahun, oleh itu pendekatan kerajaan adalah menggunakan satu per lapan daripada peruntukan itu untuk lakukan langkah preventive (pencegahan) menangani masalah denggi,” jelasnya.