Drawbridge bergelap sejam kerana Earth Hour

Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau lebih dikenali sebagai drawbridge bergelap selama sejam bagi menyahut kempen Earth Hour yang bertemakan 'Invest On Our Planet' pada malam Sabtu.
Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau lebih dikenali sebagai drawbridge bergelap selama sejam bagi menyahut kempen Earth Hour yang bertemakan 'Invest On Our Planet' pada malam Sabtu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau lebih dikenali sebagai drawbridge bergelap selama sejam bagi menyahut kempen Earth Hour yang bertemakan 'Invest On Our Planet' pada malam Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd, Awasi Mohamad berkata, lampu yang menerangi di sepanjang jambatan ikonik Terengganu itu telah dipadamkan bermula jam 8.30 hingga 9.30 malam.

Menurutnya, Earth Hour merupakan kempen positif yang wajar disokong dan pihaknya sentiasa komited mengekalkan kelestarian alam sekitar terutama dalam mengurangkan impak perubahan iklim di negeri ini.

“Kempen ini akan disahut oleh Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan TI Properties Sdn Bhd pada setiap tahun dalam usaha menyokong dan menjayakan pemuliharaan bumi,” katanya di sini pada Ahad.

Awasi berkata, Earth Hour adalah kempen global yang menyatukan komuniti di seluruh dunia bagi melindungi planet ini dengan menggalakkan orang ramai menutup lampu satu jam sebagai isyarat simbolik perpaduan bagi meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim dan kesan alam sekitar daripada penggunaan tenaga.

Katanya, antara langkah yang boleh diambil adalah dengan mencabut soket elektronik apabila tidak digunakan bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan gunakan mentol lampu serta peralatan yang cekap tenaga bagi penjimatan elektrik.

“Dengan mengambil langkah-langkah kecil ini, ia mampu membawa impak besar terhadap bumi kita dan memberi inspirasi kepada semua untuk membuat perubahan ke arah masa depan yang mampan.

“Saya harap kempen ini mendapat sokongan semua pihak dalam mewujudkan dunia yang lebih mampan dan memberi impak positif kepada perubahan iklim negara,” katanya.