Kariah tidak dihalang bawa anak ke Masjid Puncak Alam

Kenyataan dikeluarkan pihak Masjid Puncak Alam pada Jumaat
Kenyataan dikeluarkan pihak Masjid Puncak Alam pada Jumaat
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak pengurusan Masjid Puncak Alam tidak pernah menghalang kariah untuk membawa anak-anak mereka dan solat di ruang utama atau ruang legar di masjid berkenaan.

Pemangku Nazir Masjid Puncak Alam, Mujahid Muhammad Zain bagaimanapun berkata, kanak-kanak belum mumayyis atau yang dikhuatiri boleh mengganggu kariah lain ketika solat atau penjaga membawa kanak-kanak untuk tujuan bermain-main adalah dilarang untuk masuk ke ruang solat utama pada waktu solat kecuali jika penjaga yakin dapat mengawal anak-anak mereka.

"Jika mereka membawa dan tidak yakin anak mereka bersih dan aman, hantarlah anak ke pusat jagaan kanak-kanak disediakan oleh Masjid Puncak Alam dibuka sepanjang bulan Ramadan.

"Sepanjang Ramadan setiap tahun, pihak Masjid Puncak Alam menyediakan pusat jagaan kanak-kanak dikendalikan sukarelawan terlatih," katanya dal satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau menambah pusat jagaan disediakan di masjid berkenaan adalah untuk memberikan kemudahan kepada ibu bapa yang membawa anak-anak mereka ke masjid pada Ramadan.

"Jemaah boleh solat dengan aman dan anak boleh bermain di pusat jagaan dikendalikan sukarelawan yang dibuka mulai jam 8.00 hingga 11.00 malam dan mereka mengatur kawasan tempat solat wanita untuk kebaikan kariah.

"Sebagai contoh, mereka akan mengarahkan kariah yang muda untuk naik ke tingkat atas ruang solat utama bagi memberi ruang kawasan solat di bawah untuk kariah yang berumur dan tidak larat naik tangga.

"Mereka turut meminta kariah yang bawa anak kecil untuk solat di ruang legar atau hantar anak ke pusat jagaan," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau juga menafikan berita yang tular mendakwa pihak masjid menghalau keluar kariah kerana membawa kanak-kanak ke masjid berkenaan.

Pada Khamis, segelintir jemaah wanita di Masjid Puncak Alam, Kuala Selangor mendakwa tidak dibenarkan bersembahyang di ruang solat utama masjid kerana membawa kanak-kanak.

Wanita terbabit mendakwa pengurusan dan ahli jawatan kuasa masjid itu mengarahkan mereka keluar dari ruang solat utama ketika mahu menunaikan solat tarawih, semalam dan memaklumkan ruang itu hanya untuk wanita dewasa.