Parti politik dilihat kebal soal pendanaan

Jahaberdeen
Jahaberdeen
A
A
A

SHAH ALAM - Parti politik di Malaysia dilihat seakan-akan masih kebal daripada tindakan undang-undang terutama melibatkan aspek sumber kewangan.

Menurut peguam Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos, sejak sekian lama isu dana politik ini jarang sekali diambil tindakan di mahkamah.

“Saya mempunyai yayasan, jika saya menerima dana maka saya tertakluk kepada banyak aspek perundangan.

“Semua pertubuhan lain pun perlu melalui proses undang-undang yang betul dalam penerimaan sumber kewangan akan tetapi bila konteks itu diberikan kepada parti politik, ia seolah-olah tidak terpakai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam program Wacana Sinar bertajuk Dana Politik: Derma atau Rasuah yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Turut diundang menjadi panelis Presiden Penubuhan Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (Pakar), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Ketua Biro Guaman dan Undang-Undang AMK, Asheeq Ali manakala Ismail Adnan sebagai moderator.

Jahaberdeen menambah, penggubalan akta tersebut penting kerana ia mempengaruhi ketelusan pihak yang ingin memegang amanah kepada negara.

“Meskipun sekarang tiada akta pendanaan politik, tetapi pihak berkenaan kena sedar masih ada aspek perundangan lain yang terlibat dalam mengambil tindakan terhadap pemberian dana haram.

“Bila sesebuah pihak menerima rasuah, rakyat yang berdepan kerugian,” jelasnya.