Akta Pendanaan Politik perlu segera dilaksana menjelang PRN

Shamshun Baharin - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
Shamshun Baharin - Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Akta Pendanaan Politik perlu segera dilaksanakan terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi memastikan ketelusan selain setiap parti politik mempunyai kebertanggungjawaban berhubung sumbangan dan derma diterima.

Presiden Penubuhan Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (Pakar), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berpandangan akta berkenaan perlu dilaksanakan secepat mungkin sebagaimana Akta Anti Lompat Parti dikuatkuasakan.

"Jadi dua belah parti sama ada pemerintah atau pembangkang kena terima ini bagi memastikan senario politik pada masa akan datang menjadi lebih telus dan berwibawa.

"Bukan kita menyekat individu atau syarikat beri sumbangan kepada mana-mana parti politk tetapi dengan adanya akta itu ia jadi lebih telus dan ada kebertanggungjawab mana-mana parti berhubung derma atau sumbangan yang diterima," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam program Wacana Sinar bertajuk Dana Politik: Derma atau Rasuah yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Turut diundang menjadi panelis adalah peguam, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Ketua Biro Guaman dan Undang-Undang AMK, Asheeq Ali manakala Ismail Adnan sebagai moderator.

Dalam pada itu, Shamshun Baharin berkata, sememangnya mana-mana parti politik memerlukan sumbangan atau dana untuk melaksanakan aktiviti kempen selain tujuan rutin parti yang berkaitan.

Beliau berkata, ia merupakan suatu yang penting untuk membezakan sama ada sumbangan diterima tersebut mempunyai kaitan untuk meluluskan sesuatu projek atau tidak daripada pihak yang menderma dana.

Justeru, Shamshun Baharin berpandangan menerusi akta berkenaan masyarakat boleh melihat sumbangan diterima mana-mana parti itu diperoleh dari syarikat mana sekali gus memastikan tidak berlaku ketirisan.