Tubuh jawatankuasa teliti aktiviti transaksi dana politik

Asheeq
Asheeq
A
A
A

SHAH ALAM - Pendanaan politik sering dikaitkan sebagai ‘kenderaan’ oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencuci duit haram mereka.

Ketua Biro Guaman dan Undang-Undang AMK, Asheeq Ali berkata, justeru pelaksanaan sebuah akta bagi mengawal ketelusan dalam penerimaannya perlu digubal.

Beliau turut mencadangkan sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi meneliti dan mengawal sebarang aktiviti transaksi dana bagi setiap parti politik di negara ini.

“Ada pihak yang menjadikan alasan penerimaan dana itu sebagai sumbangan, persoalannya adakah semudah itu hujah tersebut dapat diterima?

“Contohnya ada sebuah syarikat bagi sumbangan kepada parti pemerintah dan mereka dapat pelepasan cukai, tidakkah ia meragukan?" katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Wacana Sinar bertajuk Dana Politik: Derma atau Rasuah yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Turut diundang menjadi panelis ialah peguam, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Presiden Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (Pakar), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd.

Dalam pada itu, Asheeq turut mempersoalkan tindakan pihak yang mempertikai ketelusan dana politik yang diterima oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tiada sebarang tindakan diambil.

"Jika benar ada sesuatu yang meragukan terhadap dana milik PKR, mengapa tiada sebarang tindakan diambil terutama pada pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri

"Beliau mentadbir negara selama 18 bulan, sudah pasti ada peluang dan ruang untuk mengarahkan siasatan terhadap PKR tetapi mengapa tidak ada?" soalnya.