OKU dipenjara 30 hari denda RM24,000 tipu permohonan EPC

Tertuduh diiring pegawai SPRM ketika tiba di mahkamah pada Selasa.
Tertuduh diiring pegawai SPRM ketika tiba di mahkamah pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Bekas penyelia keselamatan tapak yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dihukum penjara 30 hari dan denda RM24,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Selasa atas pertuduhan mengemukakan penyata pendapatan palsu untuk permohonan Elaun Pekerja Cacat (EPC) pada 2019.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, J Vasantha Kumaran, 39, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil.

Mahkamah turut memerintahkan tambahan hukuman lima bulan penjara jika tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh telah mengemukakan penyata pendapatan bulanan palsu kepada kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk permohonan bagi mendapatkan bantuan kewangan EPC sebanyak RM4,800 untuk tempoh Disember 2019 hingga November 2020.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seremban pada 7 Oktober 2019.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 (2) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu jika butir matan palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman denda paling minimum kerana dia satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga dan perlu menanggung seorang anak, ibu serta adik.

Selain itu tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan lima dokumen palsu untuk memohon pekerjaan sebagai penyelia keselamatan tapak binaan di sebuah syarikat pada 2018.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menggunakan lima dokumen sebagai tulen atas namanya bagi sokongan kepada suatu permohonan pendaftaran Orang Yang Kompeten (OYK) Penyelia Keselamatan Tapak Bina bertarikh 28 Ogos 2018..

Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun.

Tertuduh kemudian didenda RM10,000 dan jika gagal bayar boleh dipenjara lima bulan.