Rayuan peguam cabar levi pelepasan ditolak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang peguam gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini bagi mencabar pengenaan levi pelepasan terhadap rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke luar negara.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Azman Abdullah menolak rayuan R Kengadharan tanpa perintah kos.

Azman, yang menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah memutuskan bahawa rayuan Kengadharan tidak mempunyai merit yang memerlukan campur tangan rayuan.

Beliau berkata, dalam kes kerajaan Malaysia melawan Loh Wai Kong, Mahkamah Persekutuan memutuskan hak untuk melancong ke luar negara adalah tidak mutlak, adalah sah dan terpakai bagi kes ini.

Dalam kes 1979 itu, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan Wai Kong untuk pengisytiharan bahawa warganegara Malaysia mempunyai hak asasi di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan untuk melancong ke luar negara.

Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini, Yaacob serta peguam A Srimurugan yang mewakili Kengadharan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang meninggal dunia baru-baru ini.

Sri Ram adalah peguam Kengadharan ketika rayuan didengar pada 4 Januari lepas.

Beliau berhujah bahawa kes Loh Wai Kong telah diputuskan secara salah dan hak untuk melancong ke luar negara adalah hak asasi.

Kengadharan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Februari 2020 yang menolak samannya yang menamakan Menteri Kewangan dan kerajaan sebagai responden.

Dalam saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada Ogos 2019, Kengadharan memohon pengisytiharan bahawa Akta Levi Pelepasan 2018 dan Perintah Levi Pelepasan 2019 melanggar hak asasi untuk melakukan perjalanan ke luar negara.

Beliau memohon deklarasi bahawa perintah itu melanggar Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutan.

Dalam afidavitnya untuk menyokong saman itu, Kengadharan berkata, sebarang bentuk cukai yang dikuatkuasakan, termasuk terhadap sesiapa yang ingin melakukan upacara keagamaan atau menunaikan haji, adalah melanggar hak kebebasan asasi.

Kengadharan juga berkata, pengenaan cukai pelepasan, sebagai tambahan kepada perkhidmatan sedia ada dan cukai lapangan terbang, akan membebankan dan tidak wajar.

Levi pelepasan dikenakan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2019.

Pada prosiding hari ini, peguam Dr Shamsher Singh Thind juga mewakili Kengadharan manakala Peguam Persekutuan, V Krishna Priya mewakili Menteri Kewangan dan kerajaan. - Bernama