Pemimpin, aktivis politik tidak dibenar berceramah di masjid

Tangkap layar kenyataan media dikeluarkan MAIDAM berkenaan larangan terhadap semua pemimpin dan aktivis politik mengadakan aktiviti di masjid dan surau di Terengganu.
Tangkap layar kenyataan media dikeluarkan MAIDAM berkenaan larangan terhadap semua pemimpin dan aktivis politik mengadakan aktiviti di masjid dan surau di Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Semua pemimpin dan aktivis politik di Terengganu tidak dibenarkan menggunakan masjid serta surau bagi menyampaikan ceramah atau mengadakan sebarang aktiviti berunsur politik kepartian.

Larangan itu dikeluarkan melalui kenyataan rasmi oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) pada Khamis.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, ia dibuat setelah mendapat perkenan daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Jelas beliau, Sultan Mizan telah menzahirkan rasa dukacita dengan penglibatan segelintir ahli politik yang menyampaikan kuliah, ceramah dan pengajaran agama di masjid dan surau serta bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid tanpa kebenaran daripada MAIDAM.

"Semua ahli yang berhormat sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara serta aktivis politik tidak dibenarkan menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah atau pengajaran agama di masjid dan surau dalam negeri Terengganu.

"Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid negeri itu," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, masjid adalah sebuah institusi keagamaan yang sangat penting dan mulia bagi umat Islam dan ia adalah lambang kepada penyatuan serta perpaduan ummah yang perlu dimakmurkan dengan sebaik mungkin.

Justeru, katanya, masjid dan surau yang berfungsi dengan baik akan memberi impak yang positif dan bermanfaat kepada masyarakat Islam.

"Masjid dan surau tidak boleh sesekali disalahgunakan bagi tujuan-tujuan yang boleh menimbulkan keresahan dan kegelisahan serta perselisihan dalam kalangan masyarakat.

"Ini termasuk menggunakan masjid atau surau bagi melaksanakan apa-apa aktiviti atau program yang pengisiannya bercampur aduk dengan unsur-unsur politik kepartian," katanya.

Sehubungan itu, Shaikh Harun berkata, semua pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid dan surau perlu memastikan semua penceramah, individu yang memberi kuliah dan tenaga pengajar serta khatib solat Jumaat yang dijemput mempunyai tauliah atau kelulusan yang dikeluarkan oleh MAIDAM.

Beliau memberitahu, mana-mana program keagamaan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan termasuk jabatan kerajaan, badan berkanun kerajaan, anak-anak syarikat kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diadakan di bangunan agensi atau di tempat awam juga perlu memastikan individu yang dijemput mempunyai tauliah dan kelulusan MAIDAM.

"Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Unit Penguatkuasaan Syariah Pejabat Agama Daerah pula dikehendaki membuat pemantauan terhadap arahan yang dikeluarkan supaya ia dapat dipatuhi.

"Sultan Mizan juga menyeru supaya semua pihak dapat menghormati dan mematuhi segala peraturan dan arahan yang dikeluarkan oleh MAIDAM dan JHEAT," katanya.