X

Kindly register in order to view this article
!

Perak hasrat jadikan Manjung hab proses gas, minyak

Mohammad Nizar ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Abdul Manaf Hashim (Pengkalan Baharu-BN) pada Persidangan DUN Perak, hari ini.
A
A

IPOH - Kerajaan Perak bercadang untuk menjadikan kawasan Manjung sebagai hab pemprosesan gas dan minyak.

Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, meskipun Perak tidak mempunyai galian gas, tetapi menerima beberapa permintaan daripada agensi besar dan konglomerat luar negara terhadap sumber itu.

Buat masa ini, menurutnya, perbincangan bagi tujuan itu sudah pun dimulakan bersama Pejabat Tanah Daerah, Majlis Perbandaran Manjung, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

"Perbincangan ini untuk memastikan sama ada kita boleh menempatkan beberapa proses gas dan minyak yang diimport dari luar terutama negara Timur Tengah dan diproses di sini sebelum dijual ke negara berdekatan.

"Ini yang sedang kita usahakan di Manjung," katanya menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Abdul Manaf Hashim (Pengkalan Baharu-BN) pada Persidangan DUN Perak, hari ini.

Abdul Manaf memohon penjelasan sama ada kerajaan mempunyai cadangan untuk membina loji pembekalan gas asli di sini.

Mohammad Nizar (Sungai Rapat-Amanah) berkata, projek pembangunan paip gas asli dari Ayer Tawar ke Lembah Kinta sepanjang 140km telahpun siap 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat tahun ini sepertimana dijadualkan.

Katanya, projek melibatkan kos RM180 juta itu akan dapat memberi peluang bagi penggunaan gas asli kepada 44 syarikat sedia ada di sepanjang jajaran hinggalah ke Kantan dan Chemor.

"Projek di bawah pelaksanaan Syarikat Gas Malaysia Berhad ini tidak mengalami sebarang isu atau masalah, semuanya dilaksanakan mengikut perancangan," katanya.

Untuk jangka masa panjang, beliau berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk memperluaskan jajaran saluran paip terbabit ke kawasan-kawasan lain hingga ke Teluk Intan, Batang Padang dan Muallim.

"Kita sedang atur perbincangan bersama Unit Pembangunan Ekonomi, Gas Malaysia Berhad dan beberapa agensi lain untuk memikirkan bagaimana gas ini dapat disalurkan ke kawasan-kawasan lain kerana jika jajaran baru ini dapat diwujudkan, maka ia dapat merancakkan lagi sektor pembangunan dan pembuatan di situ," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus