KL bakal jadi hab syarikat pemula dan industri digital serantau

Rafizi
Rafizi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan merancang menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan industri digital serantau dalam usaha melonjakkan lagi aktiviti ekonomi digital negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ekonomi digital merupakan satu daripada tiga sektor strategik bernilai tinggi dan mampu merancakkan pelaburan serta menawarkan pekerjaan bergaji tinggi kepada rakyat yang diberi tumpuan oleh kementerian dalam penstrukturan semula ekonomi negara.

"Selain dari melonjakkan industri sedia ada seperti semikonduktor, perkilangan, minyak dan gas, komoditi ke peringkat rantaian nilai yang bernilai tinggi dengan fokus kepada proses penghiliran nilai tinggi, tiga sektor strategik yang diberi tumpuan oleh Kementerian Ekonomi adalah peralihan tenaga ke arah tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan keterjaminan makanan," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Justeru, kementerian sedang bekerjasama dengan kementerian lain yang terlibat di dalam ekosistem ekonomi digital iaitu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Kementerian Komunikasi dan Digital; dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk merancakkan ekonomi digital negara, tambah beliau.

Rafizi menjelaskan, kerjasama itu perlu bagi menyelaraskan sistem sokongan awam yang dilaksanakan melalui pelbagai agensi ke arah pendekatan bersepadu untuk menambah baik ekosistem digital yang lebih berkesan.

"Ini akan meningkatkan jumlah dan prestasi syarikat pemula, serta mempercepatkan peralihan sektor swasta kepada ekonomi digital," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerjasama dengan kementerian terlibat juga bertujuan memulakan pembangunan konsep dan penyelarasan fungsi di antara agensi-agensi kerajaan ke arah pelaksanaan kerajaan digital yang menghasilkan produk-produk perkhidmatan awam berasaskan data dan digital secara bersepadu.

"Satu langkah utama untuk mencapai kedua-dua sasaran ini ialah meningkatkan daya tarikan Kuala Lumpur sebagai pusat syarikat pemula dan industri digital serantau untuk menarik pelaburan dan bakat digital ke negara ini.

"Ia memerlukan perubahan dasar yang agresif yang mencakupi pelbagai bidang, termasuklah penyatuan usaha agensi-agensi kerajaan, proses visa pekerjaan yang lebih cekap dan terbuka, insentif digital yang lebih menarik dan penghasilan tenaga kerja dalam industri digital pada skala nasional," katanya.

Menurut Rafizi, semasa menghadiri Forum Ekonomi Qatar baru-baru ini, beliau turut berpeluang berbincang dengan Jack Selby yang merupakan kakitangan terawal PayPal bersama-sama kumpulan pengasas syarikat seperti Elon Musk, Peter Thiel dan Reid Hoffman.

"Kumpulan pengasas PayPal ini menjadi tenaga utama yang menggerakkan industri digital dari Silicon Valley melalui penglibatan mereka di dalam syarikat-syarikat digital terkenal, antaranya seperti Tesla, SpaceX, Youtube, Facebook, LinkedIn dan OpenAI," jelasnya.

Rafizi berkata, Selby yang kini merupakan Pengarah Urusan Thiel Capital dan pencetus Arizona Technology Innovation Summit, turut melahirkan minat membantu Malaysia membangunkan Kuala Lumpur sebagai pusat syarikat pemula dan industri digital serantau.

"Saya berminat menjalin perkongsian dengan beliau dalam bidang digital kerana usahanya membangunkan Arizona sebagai pusat syarikat pemula yang baharu di luar Silicon Valley dan selepas kerjaya di Silicon Valley, beliau kembali ke negeri asalnya Arizona dan membangunkan Arizona sebagai pusat baharu syarikat pemula, yang kini telah berjaya menarik syarikat-syarikat pemula.

"Kepakaran beliau akan membantu negara merangka dasar yang lebih mesra syarikat pemula dan mewujudkan jaringan kerjasama dalam bidang digital yang melonjakkan nama Kuala Lumpur sebagai destinasi utama industri digital di rantau ini," katanya.

Beliau berkata dasar dan inisiatif khusus akan diumum secara berperingkat dalam menzahirkan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai daya tarikan syarikat pemula serantau. - Bernama