Kerajaan tak patut terlibat dalam perniagaan - Johari

Johari Abdul Ghani
Johari Abdul Ghani
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berpandangan kerajaan sewajarnya menumpukan terhadap mengurus tadbir negara dan bukannya cenderung terlibat dalam perniagaan.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, langkah paling wajar adalah kerajaan berurusan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi secara langsung berbanding menubuhkan Digital Nasional Berhad (DNB) untuk pelancaran 5G.

“Apabila kerajaan Thailand mahu melaksanakan 5G, mereka tidak menubuhkan entiti baharu untuk melaksanakannya. Malah ia dilancarkan dengan pantas dan lancar.

“Kerajaan tubuhkan DNB untuk berurusan dengan syarikat telekomunikasi tetapi pemain industri tiada keyakinan terhadap entiti kerajaan itu.

“Ini antara sebab mengapa kemajuan pelancaran 5G ketika ini hanya sekitar 40 peratus kerana pelaksanaannya tidak mendapat sokongan penuh pemain industri,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Ahad.

Bagaimanapun, Johari berkata, sekiranya pelaksanaan projek itu diberikan kepada sektor swasta maka mereka tahu cara untuk mengendalikannya.

“Penyedia rangkaian itu akan melabur dalam pelancaran yang dipacu permintaan bukan sahaja lebih pantas berbanding DNB tetapi sampai kepada golongan masyarakat dan industri yang memerlukan 5G,” ujarnya.

Tambah beliau, kesan gandaan ekonomi daripada kerahan sektor swasta akan mencipta lebih banyak pekerjaan.

“Kita hanya perlu pastikan dalam mengawal mekanisme untuk memastikan ia memberi manfaat kepada kerajaan dan rakyat.

“Ini yang sepatutnya dilakukan kerajaan dan bukannya berniaga,” ujarnya.

Menurut Johari, pemerintah harus menumpukan pada mentadbir kerajaan dan mengutip cukai.

“Apabila kerajaan mula berniaga, di situlah banyak masalah timbul.

“Pelaksanaan 5G tidak berjaya, kerajaan yang membelanjakan kira-kira RM16.5 bilion untuk prasarana 5G bagi 80 peratus liputan tidak akan mendapat semula pelaburannya,” jelas beliau.