Projek monorel Putrajaya siap jika serah kepada swasta - Tun M

Tun Dr Mahathir
Tun Dr Mahathir
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpandangan projek monorel Putrajaya sudah siap ketika ini sekiranya projek itu diserahkan kepada sektor swasta dalam membangunkan infrastruktur berkenaan.

Beliau mendakwa ada syarikat lain yang bersedia untuk mengambil alih projek tersebut namun perkara itu tidak diendahkan oleh pihak kerajaan.

"Projek monorel itu kita boleh bangga dengannya kerana ia adalah projek kita bukan pinjam daripada orang lain. Bukan projek ciptaan orang lain tetapi kita punya.

"Saya tak faham setelah kita buat keputusan untuk bangunkan projek monorel di Putrajaya malah sudah ada jalan untuk monorel tersebut malah sudah ada jambatan gantung pun.

"Saya jadi hairan... ada syarikat-syarikat yang bersedia untuk ambil alih dan mereka akan terus bangunkan monorel itu tetapi pihak kerajaan tidak layan," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu mempersoalkan sama ada projek itu ditangguhkan disebabkan kerajaan ketika itu tidak mahu meneruskan projek berkenaan atau tiada duit untuk melaksanakannya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir mengambil contoh projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang diserahkan kepada sektor swasta berikutan kerajaan tidak mempunyai dana untuk melaksanakan projek berkenaan.

"Apabila kerajaan tak ada cukup dana untuk mendirikan jalan sepanjang 800 kilometer itu, kita serahkan pada sektor swasta dan kita bantu sektor tersebut. Hari ini PLUS sudah jadi kenyataan.

"Demikian juga dengan projek monorel di Putrajaya. Kalau diserahkan pada sektor swasta, diadakan tender proses dan kita pilih mana yang baik boleh selesaikan serta boleh bangunkan monorel di Putrajaya, maka hari ini saya fikir sudah siap (projek monorel," jelasnya.

Sebelum ini media melaporkan, mengikut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2, penangguhan projek monorel Putrajaya menyebabkan sistem pengangkutan bersepadu di bandar itu belum tercapai dan merupakan pembaziran sekiranya infrastruktur dibangunkan tidak dimanfaatkan.

Menurut LKAN, penangguhan pembangunan mod pengangkutan monorel yang merupakan tulang belakang sistem pengangkutan awam di Putrajaya juga memberi kesan kepada perkhidmatan bas dan penggunaan fasiliti berkaitan.

Projek pembangunan Putrajaya hasil cetusan idea Dr Mahathir pada 1992, terhenti pada tahun 2004 - setahun selepas beliau melepaskan jawatan.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan orang ramai khususnya penduduk di Putrajaya mendesak kerajaan meneruskan projek monorel Putrajaya di Presint 3 yang mula dibina pada tahun 2000 namun terbengkalai sejak 2004.

Tinjauan Sinar Harian pada Jumaat mendapati rata-rata mereka yang ditemui berharap supaya projek berkenaan diteruskan.