Pembaziran projek pembangunan Putrajaya lebih RM812 juta

Pembaziran dalam pengurusan pembangunan Putrajaya bernilai RM812.91 juta setakat 31 Disember 2021. - Gambar hiasan
Pembaziran dalam pengurusan pembangunan Putrajaya bernilai RM812.91 juta setakat 31 Disember 2021. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid mendedahkan berlaku pembaziran dalam pengurusan pembangunan Putrajaya bernilai RM812.91 juta setakat 31 Disember 2021.

Beliau berkata, pembaziran tersebut membabitkan penangguhan projek monorel di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan berjumlah RM797.18 juta termasuk penyenggaraan terowong pengangkutan awam itu bernilai RM2.16 juta.

Menurut Nik Azman, depoh bas di Presint 14 yang tidak digunakan berjumlah RM12.21 juta, penggunaan infrastruktur 'park & ride' tidak mengikut tujuan asal bernilai RM1.36 juta selain tahap penawaran perkhidmatan bas adalah rendah.

"Infrastruktur bagi empat daripada enam mod pengangkutan telah siap dibangunkan, namun hanya tiga mod pengangkutan digunakan sepenuhnya.

"Pembangunan infrastruktur monorel belum siap sepenuhnya, manakala infrastruktur bagi mod pengangkutan trem pula belum dibangunkan.

"Penangguhan projek monorel menyebabkan sistem pengangkutan bersepadu belum tercapai dan satu pembaziran sekiranya infrastruktur yang telah dibangunkan tidak dimanfaatkan," katanya ketika sesi taklimat bersama media mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 Tahun 2021 pada Khamis.

Laporan itu turut menyebut, pelaksanaan projek monorel membabitkan dua laluan iaitu Laluan 1 sepanjang 13.2 kilometer (km), manakala Laluan 2 sepanjang 6km dengan stesen monorel yang belum siap dibangunkan di Terminal Putrajaya Sentral Presint 7.

"Lawatan fizikal audit pada 16 Ogos 2022 mengesahkan sebahagian infrastruktur seperti kerangka asas bagi terowong, tiang-tiang bagi landasan dan jambatan untuk monorel sudah dibina.

"Kerja-kerja pembinaan infrastruktur monorel itu ditangguhkan pada 2004. Pihak audit tidak dapat mengesahkan justifikasi penangguhan projek monorel itu kerana tiada dokumen sokongan diperoleh," katanya.

Sementara itu, Nik Azman berkata, sasaran penduduk di Putrajaya pada 2020 iaitu seramai 281,500 individu tidak tercapai sedangkan jumlah penduduk mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan seramai 109,202 orang

Beliau berkata, sebanyak 22,452 daripada 35,000 unit kuarters yang disasarkan sudah dibina oleh Putrajaya Holdings (PjH) manakala status pembinaan baki 12,548 unit kuarters belum ditetapkan kerajaan.

“Sehingga 31 Disember 2021, seramai 17,847 penjawat awam masih dalam senarai menunggu untuk menduduki kuarters

"Penyediaan kemudahan tempat letak kenderaan tidak selaras dengan pembangunan perumahan penjawat awam Malaysia berdensiti tinggi. Ruang lantai kasar (gross floor area) bagi ruang komersial sedia ada masih belum digunakan sepenuhnya dengan aktiviti perdagangan,” katanya.

Berikutan itu, Jabatan Audit Negara mengesyorkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Putrajaya (PPj) mengkaji semula pelan pembangunan agar dapat diselaraskan dengan perubahan konsep pembangunan Putrajaya.