Latif Bandi tak tidur malam tunggu keputusan hari ini

Penyokong Abdul Latif sempat membacakan doa selepas keputusan memihak kepada bekas ADUN Endau itu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.
Penyokong Abdul Latif sempat membacakan doa selepas keputusan memihak kepada bekas ADUN Endau itu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abdul Latif Bandi akui tidak dapat melelapkan mata malam tadi susulan menanti keputusan mahkamah ke atas 37 pertuduhan rasuah yang dihadapinya, hari ini.

Beliau yang tiba kira-kira jam 8 pagi di Mahkamah Sesyen Johor Bahru bersama anaknya, Ahmad Fauzan Hatim lengkap bersut gelap kelihatan tenang menuju ke kamar Mahkamah Sesyen 1.

Bekas ADUN Endau itu dilihat meraup wajah tanda kesyukuran selepas Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Kamarudin Kamsun membacakan keputusan yang memihak kepada dirinya.

Kelihatan isteri, Datin Nor Karmila Md Nor dan kakaknya, Malatimah dan beberapa penyokongnya menitiskan air mata saat keputusan dibacakan hakim.

Sementara itu, Abdul Latif tidak putus menyatakan kesyukuran atas keputusan mahkamah yang memberi kebebasan ke atas dirinya, anak lelakinya dan perunding hartanah, Amir Sharifuddin Abdul Raub.

"Atas nikmat kebebasan ini saya bersyukur kepada ALLAH kerana beri ruang kepada saya menunjukkan inilah keadilan mahkamah yang memberi kebebasan kepada saya, anak saya dan Haji Amir. Saya ucapkan terima kasih kepada isteri, keluarga, sahabat saya dan peguam bela saya.

Abdul Latif (tengah) bersama anaknya, Ahmad Fauzan (dua dari kanan) dan Amir (dua dari kiri) ceria selepas hakim membaca keputusan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.
Abdul Latif (tengah) bersama anaknya, Ahmad Fauzan (dua dari kanan) dan Amir (dua dari kiri) ceria selepas hakim membaca keputusan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.

"Tak tidur malam fikirkan keputusan hari ini kebetulan semalam malam Nisfu Syaaban. Macam-macam saya fikir. Dengan keputusan ini, Ramadan dan Aidilfitri mendatang yang gembira buat saya serta keluarga," ketika ditemui di sini, hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut tidak menafikan sepanjang tempoh dua tahun berdepan perbicaraan kes tersebut adalah cabaran besar untuk dirinya dan keluarga.

"Sepanjang tempoh yang panjang ini, pada saya ia cabaran kuat dan mudah-mudahan ada hikmah yang terbaik. Setakat ini saya nak rehat dulu dan bersama dengan keluarga.

"Dua tahun ini saya bercuti daripada politik dan sebagainya jadi saya akan ambil pendekatan itu kemudianlah ya," katanya.

Terdahulu, beliau bersalaman dan berpelukan dengan sahabat handai serta kenalannya yang hadir memberi sokongan di kamar mahkamah selain penyokongnya turut membacakan doa tanda kesyukuran sebelum meninggalkan mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: Abdul Latif Bandi bebas 37 tuduhan suapan