Pembinaan RTS Link Johor Bahru-Singapura capai 32.4 peratus

Mohamad Fazli (dua dari kanan) dan Ting Han (kanan) meninjau tapak projek RTS di Stulang Laut, pada petang Selasa.
Mohamad Fazli (dua dari kanan) dan Ting Han (kanan) meninjau tapak projek RTS di Stulang Laut, pada petang Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Kerja-kerja pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura berjalan lancar dengan tahap kemajuan kerja mencapai 32.4 peratus.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Mohd Salleh berkata, tahap semasa kemajuan prasarana berkenaan menunjukkan ia berjalan mengikut jadual.

"Infrastruktur binaan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2024 manakala keseluruhan jajaran pula dijangka siap pada 2026 dan mula beroperasi pada Januari 2027.

"Kemajuan pembinaan prasarana pengangkutan awam berimpak tinggi ini dipantau rapi oleh Kementerian Pengangkutan, kerajaan negeri serta Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke tapak projek RTS di Stulang Laut, di sini pada petang Selasa.

Hadir sama Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han.

RTS Link merupakan sistem transit aliran ringan pertama dibina di Johor Bahru yang mana Johor merupakan pintu masuk utama di selatan negara.

Pembinaan RTS Link fasa satu bermula pada Januari 2021 selama empat tahun membabitkan pembangunan dan struktur sivil manakala pada 2025 hingga 2026 fasa pembinaan sistem telekomunikasi, pentauliahan dan pengujian sistem akan dijalankan sebelum beroperasi sepenuhnya.

Ia merangkumi pembinaan laluan sepanjang empat kilometer menghubungkan Stesen Bukit Chagar, Johor Bahru dan Stesen Woodlands North di Singapura.

Mohamad Fazli berkata, jajaran itu merangkumi jarak 2.7 kilometer (km) di Malaysia serta 1.3 km di Singapura dilihat mampu menampung kira-kira 10,000 penumpang bagi setiap jam.

Jelasnya, bagi memudahkan urusan kerja-kerja pembinaan RTS, kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah jawatankuasa tindakan khas yang bermesyuarat setiap tiga bulan sekali bagi memantau kemajuan projek tersebut.

"Projek ini juga akan diintegrasikan dengan mod pengangkutan awam lain seperti Iskandar Rapid Transit, projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor dan Bas Muafakat Johor.

"Kita jangkakan apabila projek ini siap nanti, akan wujud satu jaringan pengangkutan awam yang baik di negeri ini," ujarnya.

Mesyuarat koordinasi atasi kesesakan di sempadan Malaysia- Singapura menjelang Aidilfitri

Dalam perkembangan berasingan, Mohamad Fazli berkata, kerajaan Johor akan mengadakan mesyuarat koordinasi bagi memastikan kelancaran lalu lintas di pintu sempadan Malaysia-Singapura menjelang Aidilfitri nanti.

Menurutnya, perjalanan keluar masuk rakyat kedua-dua negara perlu dipermudahkan termasuk membuka semua kaunter tol bagi mengelak kesesakan luar biasa berlaku.

"Setiap kali tiba musim perayaan termasuk Tahun Baharu Cina, kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat koordinasi memastikan laluan di Lebuhraya LinKedua, Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah dan Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) lancar.

"Malah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu mesyuarat koordinasi yang sama turut diadakan," katanya.

Hadir sama Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Tan.

Menurut Mohamad Fazli, selain membuka kesemua kaunter tol, pengangkutan awam seperti bas akan diperbanyakkan bagi memudahkan pengguna bergerak untuk memasuki Johor.

"Jumlah pengawal keselamatan dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang akan bertugas bagi memastikan kelancaran trafik membabitkan laluan KSAB dan BSI juga akan dibincangkan.

"Selain itu, penggunaan lorong-lorong khas juga akan diteliti dalam mesyuarat koordinasi yang akan diadakan dalam masa terdekat," katanya.

Dianggarkan sebanyak 100,000 kenderaan berulang-alik setiap hari antara Malaysia-Singapura dan jumlah itu dijangka meningkat sehingga tiga kali ganda setiap kali menjelang sambutan perayaan.