Juadah raya tarikan Kafe Kita

Siti Anita menunjukkan ketupat yang belum direbus, antara menu wajib ada di Kafe Kita.(Kanan: Pulut kuning dan rendang antara menu yang disediakan di Kafe Kita.)
Siti Anita menunjukkan ketupat yang belum direbus, antara menu wajib ada di Kafe Kita.(Kanan: Pulut kuning dan rendang antara menu yang disediakan di Kafe Kita.)
A
A
A

SEREMBAN - Jika anda sukakan makanan ala-ala hari raya, bolehlah berkunjung ke Kafe Kita yang terletak di Jalan Paroi, berhadapan Kompleks Belia dan Sukan Paroi.

Di kafe ini, ada pelbagai juadah menarik yang biasanya hanya dibuat pada waktu perayaan sahaja.

Dengan berkonsepkan ‘hari-hari, hari raya’ kafe ini menyediakan pelbagai menu hari raya seperti ketupat daun kelapa, lemang periuk kera, lontong, nasi kunyit,rendang, ayam dan daging.

Pemiliknya,Siti Anita Ondar, 46, berkata, kafe ini baharu sahaja beroperasi dua bulan lalu namun sambutan yang diterima sangat memberangsangkan.

Menurutnya, kafe yang diusahakan secara bersama dua adik beradik yang lain itu merupakan cubaan pertama mereka untuk menceburi perniagaan kedai makan.

“Sebelum buka kafe ini, saya dan dua adik beradik lain mempunyai kerjaya masing-masing di Kuala Lumpur.

“Namun saya buat keputusan berhenti kerja untuk jaga ibu yang ketika itu sakit, tetapi saya hanya sempat jaga ibu untuk tiga bulan sahaja, sebelum ibu meninggal dunia pada penghujung tahun lalu.

“Hampir sebulan saya duduk di rumah, mula rasa bosan, bermula situlah datang idea untuk membuka kafe, setelah berbincang dengan keluarga, syukur semua setuju dan sokong untuk buka kafe,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

SIti Anita berkata, dia bertuah kerana mempunyai adik beradik yang memiliki kemahiran membuat minuman dan memasak.

Katanya, makanan di Kafe Kita dimasak sepenuhnya oleh kakaknya, dan minuman pula dibuat oleh adik lelakinya.

“Kafe Kita akan menyediakan pelbagai juadah yang jarang boleh jumpa, antara yang dapat sambutan adalah ubi rebus cicah sambal, kelapa dan ikan kering.

“Setiap hari kami rebus lebih 10 kali, sebab cepat habis, memang ramai pelanggan datang sini cari ubi rebus dan juga ketupat,” katanya.

Tambahnya, setiap hujung minggu ada menu tambahan istimewa iaitu laksa Johor dan juga asam pedas Melaka.Katanya, peminat asam pedas boleh cuba makan di Kafe Kita kerana rasa kuah asam pedas ini sama sedap seperti di Melaka.

Kafe Kita beroperasi bermula jam 7.30 pagi sehingga 6 petang.

Pelbagai juadah makanan bermula sarapan pagi, makan tengah hari dan minum petang, semuanya ada di situ, pendek kata, Kafe Kita seperti One Stop Center.

Orang Seremban dan sekitarnya bolehlah berkunjung ke Kafe Kita ini kerana sudah pasti anda tidak akan kecewa.

Apa yang penting, bukan sahaja menu makanannya sedap tetapi surau dan tandas di kafe ini juga seperti berada di spa.

Berkonsepkan seperti di rumah, mereka yang ingin yang masuk ke dalam perlu membuka kasut, bagi memastikan kebersihan di sini terjamin sepanjang hari.