Nurul Nazla ditemui selamat, kembali ke Hospital Shah Alam temui suami

KUALA LANGAT - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita bernama Nurul Nazla Abdul Halim yang dilaporkan hilang sejak Sabtu ditemui selamat pada Ahad.
Adiknya, Nadia berkata, wanita berusia 41 tahun itu kembali ke hospital berjumpa dengan suaminya kira-kira jam 6.30 petang.
"Perkara itu dimaklumkan okeh abang ipar bahawa kakak saya sudah balik. Dia muncul di Hospital Shah Alam untuk berjumpa dengan suaminya kira-kira jam 6.30 petang.
"Setakat ini, kami sekeluarga tidak tahu dia pergi mana," katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol mengesahkan wanita itu telah dijumpai selamat.
"Ya betul.wanita itu telah dijumpai. Sekarang keluarganya sedang ke balai polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Pada Ahad media melaporkan polis menerima laporan berhubung kehilangan Nurul Nazla selepas wanita itu melawat suaminya di Hospital Shah Alam pada Sabtu.
Ramsay dilaporkan berkata, laporan mengenai kes itu dibuat oleh adik kepada wanita tersebut pada jam 12.06 tengah malam Ahad.
Menurutnya, siasatan awal mendapati Nurul Nazla telah keluar dari Hospital Shah Alam selepas melawat suaminya yang sedang menerima rawatan kira-kira jam 2 petang pada Sabtu.
Katanya, kali terakhir mangsa berhubung dengan suaminya adalah sekitar jam 3 petang pada hari sama melalui WhatsApp.
Ringkasan AI
- Wanita yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu, Nurul Nazla Abdul Halim, 41, ditemui selamat pada Ahad
- Nurul Nazla telah kembali ke Hospital Shah Alam untuk bertemu suaminya sekitar jam 6.30 petang
- Kelurga masih tidak tahu ke mana dia pergi ketika hilang
- Polis menerima laporan kehilangan Nurul Nazla selepas wanita itu melawat suaminya di Hospital Shah Alam
- Kali terakhir Nurul Nazla berhubung dengan suaminya adalah melalui WhatsApp pada jam 3 petang Sabtu sebelum hilang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
