PM dijangka buat pengumuman penting esok - Anthony Loke

MELAKA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membuat beberapa pengumuman penting pada Perhimpunan Bulanan Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Januari dan Amanat Tahun 2026 pada esok.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pengumuman itu membabitkan isu kritikal berkaitan ekonomi, pendidikan serta reformasi institusi.
"Esok Isnin, Perdana Menteri akan panggil mesyuarat khas Jemaah Menteri dengan beberapa isu terdesak akan dibincangkan.
"Selepas itu, pada 11.30 pagi, Perdana Menteri akan menyampaikan Amanat Tahun Baharu (2026) bersama-sama dengan warga Jabatan Perdana Menteri,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen DAP Melaka pada Ahad.
Hadir sama Pengerusi DAP Melaka yang juga Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.
Anthony berkata, perkara bakal diumumkan itu menunjukkan keseriusan Anwar dan pimpinan Kerajaan Madani menangani isu serta masalah dihadapi rakyat ketika ini terutama dalam menangani iklim ekonomi mencabar.
Menurutnya, amanat berkenaan juga akan menggariskan hala tuju utama negara dan kerajaan sempena tahun baharu ini. - Bernama
Ringkasan AI
- Perdana Menteri dijangka membuat pengumuman penting berkaitan ekonomi, pendidikan dan reformasi institusi
- Pengumuman tersebut akan dibuat dalam Perhimpunan Bulanan Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Januari dan Amanat Tahun 2026
- Akan ada mesyuarat khas Jemaah Menteri untuk membincangkan isu terdesak sebelum pengumuman tersebut
- Amanat itu juga akan menggariskan hala tuju utama negara dan kerajaan sempena tahun baharu
- Keseriusan Anwar dan Kerajaan Madani menangani isu rakyat dan ekonomi mencabar ditekankan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
