'Hari raya kami, macam hari biasa'

Mohd Azwan (kiri) dan Nur Asyikin (dua dari kiri) menumpang kasih datuk dan nenek yang sudah tua.
Mohd Azwan (kiri) dan Nur Asyikin (dua dari kiri) menumpang kasih datuk dan nenek yang sudah tua.
A
A
A

KUALA KRAI - Tiada pakaian baharu, apatah lagi hidangan istimewa untuk dinikmati pada Hari Raya Aidilfitri. Itulah yang terpaksa dilalui oleh sepasang adik-beradik yatim piatu dari Kampung Slow Pok Long, Dabong di sini.

Sejak kehilangan kedua ibu bapa iaitu Adi Roni dan Yusni Yusof dalam nahas jalan raya pada tahun 2014, dua beradik itu perlu hidup berdikari walaupun usia mereka terlalu ‘mentah’, selain hanya menumpang kasih datuk dan nenek yang sudah tua.

Lebih menyedihkan dua beradik tersebut terpaksa berpisah dengan adik bongsu, Mohd Aliff Adi, 11, yang kini dijaga oleh keluarga sebelah bapa.

Kesempitan hidup memaksa Mohd Azwan Abdullah, 16, dan adik perempuannya, Nur Asyikin, 15, melupakan terus keseronokan dan nikmat berhari raya seperti remaja lain seusia mereka.

Nur Asyikin berkata, dia dan abangnya sudah sembilan tahun tidak berasa pakaian baharu.

“Pagi raya kami sama seperti hari lain.

“Kami sudah biasa dengan keadaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas remaja itu, melihat orang lain bergembira dengan keluarga memaksa mereka hanya berada di rumah.

Ujar Nur Asyikin, ketika itu rindu terhadap ibu dan ayah mereka mula ‘membuak-buak’ sehingga menitiskan air mata.

Tambahnya, mereka perlu tabah dan sedar diri kerana dengan pendapatan abangnya sebanyak RM50 seminggu sebagai penoreh getah hanya cukup untuk berbelanja makan sahaja.

“Setakat ini kami tidak pernah kelaparan, walaupun adakalanya perlu mencatu makanan,” katanya.

Nur Asyikin memberitahu, dia dan Mohd Azwan juga sudah lama tidak bersekolah.

Dia berkata, bukan tidak mahu namun kesempitan hidup memaksa mereka berbuat demikian.

Tambahnya, pada masa sama mereka tidak mahu menyusahkan datuk serta nenek, Yusof Muda, 61, dan Roslah Aziz, 60, yang juga hidup dalam kesusahan.