Mat rempit keluar kebun sawit lapar, rindu juadah hari raya

Sebahagian daripada mat rempit yang menyerah diri selepas bersembunyi dalam kawasan semak dan kelapa sawit selepas diburu polis dalam operasi khas di Kilometer 7 Jalan Kulai-Kota Tinggi, Kulai pada Sabtu.
Sebahagian daripada mat rempit yang menyerah diri selepas bersembunyi dalam kawasan semak dan kelapa sawit selepas diburu polis dalam operasi khas di Kilometer 7 Jalan Kulai-Kota Tinggi, Kulai pada Sabtu.
A
A
A

KULAI - Lapar dan rindu juadah hari raya menyebabkan seramai 57 mat rempit yang bersembunyi dalam kawasan semak dan kebun kelapa sawit di Kilometer 7 Jalan Kulai-Kota Tinggi di sini 'menyerah diri' selepas dikejar polis dalam kejadian pada Hari Raya Aidilfitri pertama.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, dalam kejadian jam 9 pagi itu, satu persatu samseng jalanan berusia anggaran 17- 42 tahun tersebut menyerah diri selepas tidak tahan bersembunyi dalam kawasan tersebut.

"Semasa operasi dijalankan kebanyakan mat-mat motosikal terbabit sembunyi masuk ke dalam kawasan kebun sawit sekitar jam 3 pagi dan kebanyakan mereka cuba untuk keluar melalui 'jalan tikus' yang telah dikepung pihak polis.

"Akhirnya pada jam 9 pagi, satu persatu penunggang motosikal menyerah diri disebabkan menemui jalan buntu untuk melarikan diri.

"Ini kerana mereka tidak tahan dengan keadaan dalam kebun sawit yang panas ditambah pula ada yang menyatakan 'lapar dan rindu juadah hari raya pertama'," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau memberitahu, semua mereka ditahan dalam Op Selamat yang melibatkan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) dibantu cawangan unit peronda (MPV) serta cawangan pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Menurutnya, operasi khas selama 18 jam itu yang diketuai Inspektor Alexander Jeremy Jimy dari BSPT IPD Kulai bersama-sama pegawai dan 13 anggota bermula pada jam 11 malam Jumaat sehingga 5 petang Sabtu.

Katanya, anggota BSPT IPD Kulai telah mengeluarkan sebanyak 140 saman antaranya tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, lesen kenderaan (LKM) tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, ubah suai ekzos, tidak memakai topi keledar dan pelbagai kesalahan lain.

"Sebanyak 39 buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987," tambah beliau.