Lelaki mengamuk, ugut bunuh ditahan

Seorang lelaki bersenjatakan parang yang disyaki mengamuk serta memecahkan cermin hadapan sebuah kereta di Kampung Cheras Baru, di sini, ditahan pada Khamis. Gambar kecil: Mohamad Farouk
Seorang lelaki bersenjatakan parang yang disyaki mengamuk serta memecahkan cermin hadapan sebuah kereta di Kampung Cheras Baru, di sini, ditahan pada Khamis. Gambar kecil: Mohamad Farouk
A
A
A

AMPANG - Seorang lelaki bersenjatakan parang yang disyaki mengamuk serta memecahkan cermin hadapan sebuah kereta di Kampung Cheras Baru, di sini, ditahan pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian pada jam 2.02 petang, pengadu menerima panggilan telefon daripada ibunya memaklumkan kakak pengadu berada di dalam rumah bersama seorang lelaki dipercayai teman lelakinya.

"Pada masa yang sama bekas isteri kepada teman lelakinya ada di tempat kejadian, lelaki tersebut kemudian mengamuk dan memecahkan cermin hadapan kereta pengadu jenis Proton saga FLX berwarna hitam.

"Suspek berusia 40 tahun itu mematahkan tempat pemegang pintu sebelah pemandu menggunakan parang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohamad Farouk berkata, suspek juga mengugut mahu membunuh ibu dan anak pengadu.

"Susulan kejadian itu, kita memberkas suspek di sekitar Kampung Cheras Baru untuk membantu siasatan, kita juga merampas sebilah parang berukuran lebih 64 sentimeter," katanya.

Menurutnya, punca suspek mengamuk adalah kerana pertengkaran mulut antara dia dengan bekas isteri di hadapan rumah teman wanitanya.

"Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod berkaitan kes dadah, ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah jenis methamphetamin dan amphetamine," katanya.

Mohamad Farouk berkata, suspek direman selama empat hari bermula Jumaat hingga Isnin bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada ugutan jenayah mendatangkan ketakutan serta Seksyen 427 akta sama merujuk kepada perbuatan mendatangkan khianat atas harta benda," katanya.