Jumlah ibu tunggal di Terengganu meningkat

Zuraida
Zuraida
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bilangan ibu tunggal di Terengganu meningkat hampir 10,000 orang dalam tempoh tiga tahun menjadikan keseluruhan golongan itu yang direkodkan seramai 43,471 orang pada tahun 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata, statistik terbaharu itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding jumlah yang direkodkan seramai 35,000 orang pada 2018.

Jelas Zuraida, bagi mengekang perkara itu, kerajaan negeri mengambil dua langkah iaitu mencegah dan memulihkan di samping menjaga kebajikan serta memberi perlindungan kepada golongan tersebut.

"Mereka merupakan antara segmen atau sasaran paling dekat dengan ADUN Wanita dan satu cabaran bagi saya sendiri.

"Sebab itu, banyak usaha dijalankan antaranya melalui pencegahan dan pemulihan menumpukan isu melibatkan nafkah, pengabaian, dera dan sebagainya," katanya memetik laporan portal rasmi kerajaan negeri pada Isnin.

Menurut Zuraida, kebanyakan perceraian yang disusuli dengan pengabaian anak-anak dan nafkah perlu dibantu bagi mengeluarkan mereka dari kepompong tersebut.

Beliau berkata, sebanyak 32 kelab ibu tunggal di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) yang ditubuhkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu akan dipantau rapi sebagai langkah sokongan dan membantu golongan berkenaan.

Katanya, usaha itu turut dibantu oleh Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) yang juga menyediakan modul kemahiran dalam mengurus kewangan dan pendidikan memandangkan kebanyakan kes penceraian berpunca daripada masalah kewangan.

"Kita turut menyarankan supaya dalam khutbah-khutbah yang disampaikan menekankan peranan dan tanggungjawab suami bagi memberi kesedaran kepada kaum lelaki supaya tidak mengabaikan pemberian nafkah anak-anak sekali gus menjaga kerukunan rumah tangga.

"Selain itu, kempen melalui program 'second honeymoon' oleh YPK juga dilaksanakan sebagai inisiatif mengukuhkan lagi ikatan hubungan antara suami dan isteri yang telah lama berkahwin," ujar beliau.