Saman RM10 juta Kumpulan Semesta ditolak

M Hafiz, Mohamed Hafiz dan Muhammad Ridzuan berbincang mengenai keputusan kes tersebut.
M Hafiz, Mohamed Hafiz dan Muhammad Ridzuan berbincang mengenai keputusan kes tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - Anak syarikat kerajaan Negeri Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd gagal dalam tuntutan samannya yang berjumlah RM10 juta terhadap pembantu kedai berhubung satu penipuan dan pengelirupaan berkaitan syarikat itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab dalam keputusannya berkata, Kumpulan Semesta selaku plaintif gagal membuktikan bahawa Adi Lutfi Nor Asikin terlibat di dalam penipuan.

Kumpulan Semesta menerusi Tetuan Kamaruzaman Arif Amran & Chong pada saman terpindanya yang bertarikh 16 Mac 2018 menamakan Kumpulan Semestaa, Adi Lutfi, Muhammad dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai defendan pertama sehingga keempat.

Adi Lutfi, 24, diwakili peguam M Hafiz Zainol Abidin, Muhammad Ridzuan Harun dan Mohamed Hafiz Baharudin.

M Hafiz ketika ditemui Sinar Harian berkata, mahkamah memutuskan plaintif gagal memberi keterangan untuk mengaitkan anak guamnya dengan aktiviti penipuan defendan pertama iaitu Kumpulan Semestaa PLT dan defendan ketiga, Muhammad Mohd Khushairi.

"Mahkamah juga mendapati plaintif gagal membuktikan mengalami kerugian RM10 juta kerana tiada sebarang dokumentasi berhubung kerugian tersebut," katanya.

Justeru katanya, Kumpulan Semesta diperintah membayar RM7,000 kepada anak guamnya dan RM4,000 terhadap SSM sebagai kos.

Kumpulan Semesta dalam pernyataan tuntutannya mendakwa Adi Lutfi sebagai rakan kongsi defendan pertama.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan kronologi kes plaintif telah dikunjungi oleh Mohd Faizal Othman yang merupakan rakan kongsi Ricmarie Sdn Bhd yang mendakwa sebagai sub kontraktor yang dilantik kononnya menerusi anak syarikat plaintif iaitu defendan pertama bagi kerja- kerja melombong serta mengalih bahan batuan pasir di tanah milik Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Lot PT24578, HSD 24199.

Pada pertemuan itu Mohd Faizal telah mengemukakan enam pucuk surat antaranya ditandatangani kononnya oleh Pengarah Bahagian GLC, Lombong Persendirian dan Operasi Sungai Kumpulan Semesta, Tuan Haji Mokhtar serta dan dokumen perjanjian usahasama dan meminta plaintif untuk mengesahkan.

Siasatan mendapati, nama Tuan Haji Mokhtar yang merupakan pesara plaintif telah disalahguna pakai oleh defendan pertama pada surat palsu dan beliau tidak pernah memegang jawatan tersebut.

Plaintif juga membuat penafian terhadap dokumen perjanjian usahasama antara pihak- pihak kerana defenda pertama bukan anak syarikatnya, malah tiada kaitan langsung dengan Kumpulan Semesta.

Sehubungan itu syarikat berkenaan memohon injuksi mandatori bagi menghalang dan memberhentikan defendan-defendan daripada terus menggunakan nama Kumpulan Semesta dan nama pekerjanya untuk tujuan penipuan, kepentingan operasi Kumpulan Semesta.

Turut dituntut, gantirugi am, kos dan lain-lain relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu defendan kedua dalam pernyataan pembelaannya berkata, defendan ketiga iaitu Muhammad yang juga merupakan rakannya ada meminta bantuan untuk membuka akaun Telekom bagi Pusat Khidmat DUN Pelabuhan Klang dan dia telah menyerahkan beberapa dokumen.

Sekitar Januari 2017, timbul kekecohan mengenai penipuan Kumpulan Semestaa terhadap plaintif dan Muhammad didakwa mengakui telah menggunakan nama Adi Lutfi sebagai rakan kongsi di syarikat itu.

Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam pada 1 Mac 2017.