Norizam teruja tawaran RM10 juta daripada Erfan

Laporan Sinar Harian pada Khamis. Norizam (kiri) - Foto Agensi
Laporan Sinar Harian pada Khamis. Norizam (kiri) - Foto Agensi
A
A
A

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman teruja dengan tawaran 'besar' pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif Ruslan untuk membeli kelab itu yang dilaporkan mencecah RM10 juta.

Bagaimanapun di sebalik keterujaan itu, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham mengambil sikap berhati-hati dengan tawaran lumayan itu.

Justeru Norizam memberitahu, Erfan perlu mengemukakan bukti dana dan pemilikan wang tersebut terlebih dahulu.

“Ada orang tawarkan nak beli RM10 juta.

“Insya-ALLAH saya akan jual kepada Saudara Erfan. Beliau hanya berikan proof of fund untuk buktikan beliau benar-benar serius,” katanya menerusi catatan di Facebook pada Sabtu.

Bagi melicinkan proses jual beli tersebut, Norizam menjelaskan akan mengadakan pertemuan dengan Erfan dan usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida dalam masa terdekat.

“Saya akan berjumpa saudara Erfan dan Datuk Seri Vida dalam masa terdekat,” katanya.

Erfan sebelum ini mendedahkan keseriusan untuk mengambil alih Kelantan FC daripada Norizam Tukiman.

Beliau memberitahu keputusan tersebut dibuat untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan yang pernah dikecapi Kelantan FC pada tahun 2012 dan 2013.

Sebelum ini Norizam mengesahkan pihaknya ada menerima dua tawaran untuk ambil alih Kelantan FC iaitu Datuk Seri Vida dan Erfan Gym & Fitness.