Bank Susu Patuh Syariah jaga keturunan, elak berlaku mahram susuan

Model Bank Susu Patuh Syariah (BSPS) Terengganu kini di peringkat akhir kajian. -Foto hiasan/123RF (Gambar kecil: Normadiah)
Model Bank Susu Patuh Syariah (BSPS) Terengganu kini di peringkat akhir kajian. -Foto hiasan/123RF (Gambar kecil: Normadiah)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Model Bank Susu Patuh Syariah (BSPS) Terengganu yang dibangunkan oleh kumpulan penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kini di peringkat akhir kajian pelaksanaan setelah melalui proses kajian secara berperingkat selama 12 tahun.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pembangunan) Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) UniSZA, Dr Normadiah Daud berkata, cadangan pembinaan BSPS yang akan dimanfaatkan oleh bayi pramatang itu telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Fatwa Terengganu pada 5 Oktober 2020.

Jelas beliau, Terengganu menjadi negeri pertama meluluskan pelaksanaannya.

Sebelum ini, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2011 memutuskan bahawa penubuhan bank susu adalah tidak diharuskan.

"BSPS yang akan dilaksanakan ini dijangka dapat menyelamatkan nyawa lebih ramai bayi pramatang.

"Dalam masa yang sama, ia turut menjaga kesucian keturunan selari dengan tuntutan maqasid syariah dalam menjaga nyawa (hifz nafs) dan keturunan (nifz nasl). Ini kerana ciri utama BSPS adalah untuk mengelak daripada berlakunya mahram susuan," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Menurut Normadiah, antara syarat utama BSPS ialah setiap bayi pramatang hanya akan menerima empat kali penyusuan daripada seseorang ibu manakala bayi yang menerima lima kali penyusuan ke atas (oleh seorang ibu) akan direkodkan sebagai anak susuan dan diperkenalkan kepada ibu susuan serta diberikan sijil.

"Ciri BSPS ini sebenarnya selari dengan keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan 2011 yang memutuskan adalah harus bagi ibu-ibu menderma susu secara sukarela kepada bayi-bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta penderma perlu mengenali antara satu sama lain.

"Jadi, bagi ibu yang menderma susu kepada bayi lima kali penyusuan dan ke atas akan dikategorikan sebagai ibu susuan.

"Kaedah pemberian susu ibu dari BSPS kepada setiap bayi pramatang adalah bersifat sementara bagi membantu ibu-ibu yang berdepan masalah ketiadaan susu badan selepas melahirkan. Apabila keadaan kembali pulih, bayi mereka akan mendapatkan susu daripada ibu mereka sendiri.

"Ini kerana BSPS diwujudkan semata-mata untuk menyelamatkan nyawa bayi dalam keadaan darurat dan pada masa yang sama kesucian keturunan terjaga," tambah beliau.

Normadiah memberitahu, susu ibu merupakan makanan utama yang amat diperlukan bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan atau pramatang, malangnya sebahagian ibu yang melahirkan bayi pada usia kandungan sebegini tidak dapat menghasilkan susu badan pada hari-hari awal kelahiran.

Katanya, berdasarkan laporan pada 2015, 64,620 bayi pramatang telah dilahirkan di Malaysia di mana 30 peratus daripada mereka menderita penyakit necrotizing enterocolitis (NEC) atau masalah radang usus yang berlaku akibat kerosakan atau pada lapisan dalam usus bayi.

"Kajian juga menunjukkan, sebanyak 50 peratus daripada jumlah bayi yang dijangkiti NEC akan melalui pembedahan yang boleh mengancam nyawa mereka.

"Hasil kajian oleh pakar penyusuan di seluruh dunia membuktikan bahawa penggunaan susu ibu boleh membantu menurunkan sebanyak 50 peratus jumlah bayi pramatang daripada dijangkiti NEC," ujarnya.

Ujar Normadiah, susu ibu merupakan susu terbaik serta mengandungi nutrisi yang memenuhi keperluan bayi pramatang.

"Susu ibu mengandungi pelbagai jenis khasiat dan antibodi yang mampu mencegah bayi pramatang daripada jangkitan kuman dan penyakit.

"Pembinaan BSPS adalah inisiatif terbaik untuk membekalkan susu ibu yang bersih kepada bayi yang sangat memerlukan namun tidak mampu disusukan oleh ibu kandung disebabkan faktor tertentu seperti sakit, tiada susu badan, ibu yang meninggal dunia serta pelbagai faktor lain," katanya.