‘Percaya dengan rezeki ALLAH’

Ustaz Sham berdiri di hadapan Rumah Ngaji miliknya di Jalan Daud, Muar.
Ustaz Sham berdiri di hadapan Rumah Ngaji miliknya di Jalan Daud, Muar.
A
A
A

MUAR - Diuji sumber pendapatan terhad dalam mengimarahkan Rumah Ngaji pertama antara cabaran besar dipikul guru al-Quran, tiga tahun lalu.

Malah, penggalas amanah Persatuan Kebajikan Guru-Guru al-Quran Johor ini akui bimbang untuk meneruskan jihad berkenaan kerana khuatir jika hasil umpama menggenggam bara api, terasa hangat dilepaskan.

Yakin rezeki ALLAH Yang Dipertuanya, Shamsudin Ismail, 50, berkata, bagaimanapun, berbekalkan tekad dan semangat tinggi serta percaya dengan rezeki ALLAH, beliau menyahut cabaran mengusahakan Rumah Ngaji di Jalan Daud.

“Rumah Ngaji Hajjah Ramlah di Jalan Daud ini diwakafkan kepada saya pada 2015 untuk kelas al-Quran.

Bagaimanapun, sewaktu pertama kali menubuhkan tempat ini, perasaan susah hati membelenggu diri kerana sedar jumlah wang yang akan digunakan bukanlah sikit. “Banyak keperluan dan prasarana harus diubah dan ditambah demi mencapai konsep umpama kelas agama. Namun, saya tawakal dan reda kerana yakin niat ke jalan ALLAH pasti dimudahkan. “Alhamdulillah, rezeki murah apabila saya peroleh sumber kewangan dari jabatan berkaitan dan orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sumbangan diterima bukanlah hasil aktiviti sedekah pelajarnya di sekolah tahfiz, namun rezeki itu hasil keprihatinan orang ramai.

“Sejujurnya, saya tak pernah suruh pelajar tahfiz saya kutip derma. Sehingga kini pun, urusan kewangan dibantu melalui sumbangan guru al-Quran serta Jabatan Agama Islam Johor yang sentiasa jaga kebajikan persatuan kami selain sedekah dari pihak luar.

“Itu juga konsep sama saya peroleh sewaktu mendirikan Rumah Ngaji pertama dahulu. Saya percaya ALLAH mudahkan saya cari saluran terbaik. Kini, saya menubuhkan lima buah Rumah Ngaji di Johor yang mana ada antaranya diusahakan secara bersama dengan guru al-Quran, ada yang mendapat bantuan dari pejabat agama daerah dan ada juga digerakkan sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Kalau sekarang ditanya adakah saya bimbang jika mendapat sesuatu tanggungjawab terutama melibatkan wang ringgit? Saya dah tak risau lagi. Cara saya adalah usaha mana yang termampu dan serahkan pada ALLAH serta yakin rezeki itu akan datang,” katanya.

Belajar menganggap ujian sangat manis

Selain itu, Shamsudin yang mesra disapa Ustaz Sham turut berkongsi amalan ketika berhadapan cabaran iaitu sentiasa menganggap ujian dari ALLAH sebagai kemanisan dan bersangka baik menghadapinya.

“Selain berbekalkan niat yang baik dan ikhlas, harus diingat ujian tidak akan terlepas dalam hidup. Meskipun niat kita nak menuju ke jalan ALLAH, kita tetap tak akan terlepas daripada diuji.

“Sewaktu diduga ketika menubuhkan Rumah Ngaji, saya tekadkan dalam hati untuk nikmati dugaan ALLAH dengan sabar dan tenang," katanya.

Komited lahirkan guru al-Quran terbaik

Dalam pada itu, Ustaz Sham yang turut menggalas jawatan sebagai Penyelaras Rumah Ngaji Johor dan Guru al-Quran mengatur strategi tersendiri demi melahirkan guru al-Quran serba boleh. “Saya tidak mahu lahirkan guru al-Quran yang mampu ajar bacaan kalam ALLAH semata-mata, tetapi mereka harus punyai sifat mahmudah.

“Ini kerana, pengajar al-Quran kebiasaannya dianggap cerminan dalam Islam dan justeru, kita cuba lahirkan guru al-Quran yang bersedia dalam apa jua segi termasuk berdiri di barisan hadapan dalam menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan,” katanya.

Ustaz Sham berkata, pada masa sama, beliau juga mensasarkan agar semua guru al-Quran di Johor dapat menjadi penggerak Rumah Ngaji.

“Melalui kaedah ini, kita dapat membudayakan al-Quran dengan lebih meluas. Kerana itu saya cuba nak lahirkan golongan ini secara serba boleh kerana antara hasrat utama adalah nak jadikan mereka ini penggerak Rumah Ngaji kelak,” katanya yang bersyukur kerana dapat sokongan dan bantuan isteri, Raudah Ismail dalam misi mengagungkan al-Quran di negeri ini.