Cabaran besar menanti edisi Kemboja 2023

Sukan SEA 2023 dijadual membuka tirai secara rasmi pada 5 Mei dan berakhir 17 Mei ini. - Foto Bernama
Sukan SEA 2023 dijadual membuka tirai secara rasmi pada 5 Mei dan berakhir 17 Mei ini. - Foto Bernama
A
A
A

TUMPUAN komuniti sukan tanah air kini mula terarah kepada pengumuman penting hujung bulan ini tatkala rakyat Malaysia masih dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dijangka mengumumkan sa-saran pingat kontinjen negara pada Sukan SEA Kemboja 2023 sempena perhimpunan atlet dalam majlis penyerahan Jalur Gemilang di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Edisi ke-32 itu penting kerana ia adalah kayu pengukur tahap siap sedia persatuan sukan kebangsaan (NSA) dalam menyediakan atlet-atlet berdaya saing selepas pasca Covid-19.

Selain itu, Kemboja 2023 juga adalah pentas bagi kontinjen negara mengangkat semula maruah negara melibatkan temasya sukan terbesar dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Kemahuan tinggi dalam kalangan komuniti sukan tempatan juga turut berapi-api apabila menuntut keberhasilan berimpak tinggi daripada kontinjen negara selepas pencapaian hambar pada edisi Hanoi.

Sebagai rekod, kontinjen negara melabuhkan tirai edisi Hanoi 2021 dengan mengutip 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa, melepasi sasaran pingat 36-35-75 yang ditetapkan sebelum itu.

Ia juga menyaksikan Malaysia mengakhiri saingan pada kedudukan keenam keseluruhan, sekali gus merupakan pencapaian terburuk sejak edisi 1983.

Keputusan edisi ke-31 di Vietnam sebelum ini juga disifatkan oleh pemerhati sukan tempatan sebagai pencapaian terburuk sejak temasya sukan itu diperkenalkan 63 tahun lalu, apatah lagi pengakhiran di belakang jiran tetangga di selatan tanah air, Singapura.

Walaupun kontinjen negara meraih 39 pingat emas melepasi sasaran 36 pingat, namun ia tidak boleh dibanggakan jika dibandingkan 525 acara daripada 40 jenis sukan di Hanoi.

Prestasi merosot

Ya, mungkin kerakusan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sepanjang dua tahun adalah antara alasan punca kemerosotan prestasi atlet negara apabila kurangnya penyertaan dalam kejohanan kompetitif.

Selain itu, atlet juga berdepan faktor kekangan untuk menjalani latihan dalam negara yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, semua itu telah berlalu. Kini sekali lagi temasya sukan dwitahunan ini menuntut semula prestasi sebenar atlet negara.

Edisi Kemboja 2023, kontinjen Malaysia akan dibarisi 677 atlet (403 lelaki, 274 wanita) dan 237 pegawai, bakal menyertai 34 jenis sukan dipertandingkan bermula dari 5 hingga 17 Mei ini.

Peningkatan besar saiz kontinjen negara kali ini adalah untuk memberi peluang dan ruang pendedahan aura temasya, khasnya kepada atlet muda serta pelapis sebagai persediaan edisi Thailand 2025 serta Malaysia 2027.

Pastinya penyertaan saiz kontinjen Kemboja 2023 yang merupakan ketiga terbesar selepas Thailand 2007 (820 atlet) dan Filipina 2019 (772 atlet) memberi petanda positif keazaman untuk mengembalikan Malaysia sebagai antara kuasa sukan di Asia Tenggara.

Dalam pada itu, Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Mohd Nasir Ali memberi jaminan bahawa sasaran pingat edisi Kemboja 2023 melebihi pencapaian pingat pada edisi Hanoi lalu.

Malah, Mohd Nasir percaya kontinjen negara yang membariskan 57 peratus kudrat atlet pelapis berupaya menghasilkan keputusan positif walaupun Malaysia telah kehilangan lebih awal pingat emas dalam beberapa acara cemerlang pada edisi 31.

Sebagai rekod, lubuk pingat emas kontinjen negara sebelum ini mungkin terpaksa dilupakan setelah tuan rumah menggugurkan dan mengehadkan acara tersebut.

Ia secara tidak langsung menjadi cabaran kepada atlet muda negara untuk menampilkan persembahan luar biasa di bumi Kemboja.

Sukan utama yang menawarkan banyak pingat seperti olahraga dan renang perlu dimanfaatkan sebaiknya secara konsisten dalam mencipta kejutan seperti dilakukan oleh penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri ketika menghadiahkan emas pertama edisi Hanoi 2021.

Kesimpulannya, Sukan SEA seharusnya menjadi temasya penanda aras persediaan awal bagi setiap atlet sebelum melangkah untuk menimba pengalaman beraksi dalam pertandingan lebih besar seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.

Semoga hasrat dan impian tersebut akan menjadi kenyataan.

* Zuraimee Zainal ialah Penolong Editor Meja Sukan Sinar Harian