Gangguan LRT: Rapid Rail sedia perkhidmatan alternatif

Rapid Rail menyediakan perkhidmatan alternatif susulan gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling di antara Stesen Bandaraya dan Stesen Masjid Jamek pada Jumaat. - Gambar hiasan
Rapid Rail menyediakan perkhidmatan alternatif susulan gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling di antara Stesen Bandaraya dan Stesen Masjid Jamek pada Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perkhidmatan alternatif menerusi tren perantara atau ulang-alik diaktifkan susulan gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang/Sri Petaling di antara Stesen Bandaraya dan Stesen Masjid Jamek pada Jumaat.

Rapid Rail dalam satu kenyataan memaklumkan, gangguan disebabkan penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya akibat keretakan struktur jejambat di kawasan tersebut.

Menurut kenyataan itu, perkhidmatan tren alternatif telah diaktifkan dengan tren dari Stesen Putra Heights dan Stesen Ampang akan berpatah balik ke Stesen Hang Tuah.

"Sementara tren-tren dari Stesen Sentul Timur akan berpatah balik di Stesen Bandaraya.

"Perkhidmatan tren perantara atau ulang-alik di antara Stesen Hang Tuah dan Stesen Masjid Jamek diaktifkan," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, perkhidmatan bas alternatif telah dilancarkan membabitkan 23 bas bagi menampung penumpang dari Stesen Bandaraya ke Stesen Plaza Rakyat; Stesen Plaza Rakyat ke Stesen Bandaraya; Stesen Sentul Timur ke Stesen Bandaraya; Stesen Bandaraya ke Stesen Sentul Timur;Stesen Hang Tuah ke Stesen Bandaraya dan Stesen Bandaraya ke Stesen Hang Tuah.

Menurut kenyataan itu, setakat ini siasatan ke atas kekukuhan dan keselamatan struktur jejambat serta punca sebenar sedang dijalankan oleh pihak kejuruteraan Rapid Rail bersama jurutera dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Keretakan struktur jejambat menyebabkan penjajaran landasan menjadi bengkok.
Keretakan struktur jejambat menyebabkan penjajaran landasan menjadi bengkok.

"Siasatan dan pemerhatian awal APAD mendapati terdapat sebuah projek pembangunan bersebelahan kawasan kejadian yang telah mula dijalankan tanpa sebarang rundingan dengan APAD di bawah Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Kereta Api) 1998 [P.U. (A) 367].

"Namun demikian, kepastian ke atas punca sebenar serta keselamatan dan kekukuhan struktur jejambat masih lagi disiasat sebelum sebarang keputusan untuk mengembalikan perkhidmatan secara normal dibuat," kata kenyataan itu.

Pada Jumaat, Rapid Rail memaklumkan operasi perkhidmatan LRT Laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran Stesen LRT Bandaraya.

Keputusan untuk menghentikan perkhidmatan di antara dua stesen tersebut dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan.