LRT laluan Ampang lewat akibat penjajaran landasan bengkok

LRT laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran Stesen LRT Bandaraya. - Foto Bernama
LRT laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran Stesen LRT Bandaraya. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Operasi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang mengalami kelewatan atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran Stesen LRT Bandaraya.

Pengendali tren LRT, Rapid Rail memaklumkan, pemerhatian awal menunjukkan ia adalah disebabkan kerosakan struktur jejambat di kawasan berkenaan.

Menurutnya, keadaan itu dipercayai akibat daripada kerja-kerja pembinaan bersebelahan.

“Jurutera Rapid Rail sedang berada di kawasan terlibat untuk menilai keadaan bersama-sama dengan pakar struktur bagi memastikan keselamatan dan kekukuhan.

“Atas faktor keselamatan, pihak Rapid Rail membuat keputusan untuk menutup laluan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya sehingga kekukuhan dan keselamatan dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam kenyataan sama, Rapid Rail memberitahu, perkhidmatan LRT Ampang akan dijalankan dengan kelajuan yang berkurangan.

“Ini akan menyebabkan kelewatan perkhidmatan sembilan minit di dalam Daerah Pusat Perniagaan dan 18 minit di luar Daerah Pusat Perniagaan.

“Tren-tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Plaza Rakyat, tren dari Sentul Timur akan berpatah balik di Stesen Bandaraya, manakala perkhidmatan ‘shuttle’ atau ulang-alik di antara stesen Plaza Rakyat dan Masjid Jamek,” ujarnya.

Menurutnya, perkhidmatan bas alternatif diaktifkan bagi menampung penumpang di Stesen Bandaraya ke Plaza Rakyat, Stesen Plaza Rakyat ke Stesen Bandaraya, Stesen Sentul Timur ke Stesen Bandaraya dan Stesen Bandaraya ke Sentul Timur.

"Anggota polis bantuan juga telah dikerah ke stesen-stesen utama bagi mengawal kesesakan.

"Rapid Rail memohon maaf atas kelewatan ini dan kesulitan yang dialami para penumpang," katanya.