Gangguan LRT: Gantung pembangunan di kawasan terlibat - APAD

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan mengesyorkan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Seri Mahadi Che Ngah bagi penggantungan pembangunan dan aktiviti terhad di zon perlindungan kereta api serta-merta susulan gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang pagi ini.

Menerusi kenyataan, APAD memaklumkan syor berkenaan dikemukakan selaras Peraturan 8 P.U.(A) 367 sehingga punca sebenar gangguan diketahui dan segala aspek serta keperluan keselamatan dipatuhi pemilik projek.

APAD mengambil maklum insiden gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang pagi ini atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.

Menurut APAD, berdasarkan pemeriksaan dan pemerhatian awal, terdapat satu kerja pembangunan dijalankan bersebelahan landasan kereta api dan dalam kawasan Rizab Kedua LRT tanpa sebarang perundingan dengan agensi itu di bawah Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Kereta Api) 1998 [ P.U. (A) 367].

"APAD memandang serius isu ini dan sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti DBKL, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk mengenal pasti punca sebenar berlakunya insiden tersebut,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Selain itu, pihak Prasarana diminta menyediakan alternatif perkhidmatan mencukupi bagi menampung jumlah penumpang yang tinggi terutama pada waktu puncak termasuk membuat pemakluman berterusan kepada orang awam.

APAD akan terus memantau perkembangan gangguan perkhidmatan kereta api tersebut termasuk alternatif perkhidmatan yang disediakan sehingga keadaan kembali pulih, katanya. - Bernama