Peniaga lain caj mahal, yang lain turut dicop sama

Medan Selera Seri Bayu. (Gambar kecil dari kiri : Fauzan,Herniyana dan Sri Kartina)
Medan Selera Seri Bayu. (Gambar kecil dari kiri : Fauzan,Herniyana dan Sri Kartina)
A
A
A

PORT DICKSON - "Peniaga lain yang buat hal, tapi kami pula yang terkena tempias".

Itu rintihan para peniaga di Medan Selera Seri Bayu, Batu 4, Jalan Pantai di sini susulan tular sebuah kedai di situ yang didakwa mengenakan caj cekik darah termasuk caj RM2 untuk segelas air suam kepada pelanggan.

Menurut Sri Kartina Thalib, 40, disebabkan cerita berkenaan, kehadiran pelanggan di situ mula berkurangan berbanding biasa sekali gus menjejaskan rezeki peniaga-peniaga lain.

"Bila timbul cerita macam ini, orang ingat semua makanan yang dijual di kedai medan selera ini mahal sedangkan yang bermasalah hanya satu.

"Saya tak salahkan pelanggan yang nak kongsi pengalaman mereka supaya orang lain tak terkena nasib sama, tapi kesannya orang jadi takut nak datang makan di sini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ujarnya, cerita kurang enak berkenaan restoran terbabit yang mengenakan caj mahal kepada pelanggan bukanlah perkara baharu dan pernah tular tahun lalu.

Jelasnya, pada waktu itu kawasan terbabit suram selama seminggu kemungkinan ramai yang lebih berhati-hati untuk singgah menjamu selera.

"Berhati-hatinya pelanggan sehinggakan ada yang datang ke kedai saya tanya terlebih dahulu harga seketul ayam goreng kerana katanya mereka pernah dikenakan bayaran RM10.

"Ini medan selera bukannya hotel nak caj harga tak masuk akal. Memang harga barang mentah sekarang meningkat, tapi kita sebagai peniaga perlu letak harga bersesuaian," katanya yang berniaga di situ selama 22 tahun.

Peniaga Fauzan Mohd Nor, 32, turut berdepan nasib sama namun bersyukur tidak pernah ada pelanggan merungut caj yang dikenakan kepada mereka.

Laporan Sinar Harian berkenaan kedai yang tular mengenakan caj mahal kepada pelanggan
Laporan Sinar Harian berkenaan kedai yang tular mengenakan caj mahal kepada pelanggan

Bagaimanapun katanya, dia mendapati ada pelanggan lebih berhati-hati apabila bertanya satu persatu harga lauk pauk yang di kedainya termasuk sepinggan nasi sebelum mengambilnya.

"Kalau tengok komen-komen netizen itu ada yang menyampaikan pesan supaya jangan datang makan ke sini,sedangkan kedai-kedai lain setahu saya jual harga yang berpatutan.

"Saya rasa kalau orang tempatan, ramai dah tahu restoran mana yang bermasalah itu, tapi kalau orang luar macam mana? Sudahnya kami yang turut terkena tempias," katanya.

Dia juga tidak setuju jika ada yang beranggapan perlu mengenakan caj mahal disebabkan Port Dickson kawasan pelancongan.

Sementara itu peniaga kedai ikan patin tempoyak, Herniyana Mansor, 42, pula berkata, disebabkan gambar kain rentang kedainya tular, ramai kenalannya menghubungi kerana menyangka kedai caj mahal itu adalah kedainya.

"Memang terkesanlah bila timbul cerita ini. Tapi saya lagi kasihan pada pelanggan yang jadi mangsa sehinggakan saya akan beri nasihat tanya harga dulu kepada siapa-siapa yang saya nampak singgah makan di sini.

"Mungkin pelanggan yang tak tahu fikir saya dengki, tapi niat saya supaya mereka hati-hati," katanya.

Sehubungan itu dia berharap orang ramai tidak takut untuk datang menjamu selera di situ kerana bukan semua kedai mengenakan harga tidak masuk akal seperti mana yang tular pada Selasa.

Sementara itu tinjauan Sinar Harian mendapati, kedai yang tular terbabit tidak beroperasi pada Rabu.