Hapus SOSMA, bicara tahanan di bawah Kanun Keseksaan

Ramasamy (dua dari kiri) mendengar keluhan daripada keluarga tahanan SOSMA yang berjumpa dengannya di Komtar.
Ramasamy (dua dari kiri) mendengar keluhan daripada keluarga tahanan SOSMA yang berjumpa dengannya di Komtar.
A
A
A

GEORGETOWN - Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy menggesa kerajaan menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sekiranya tidak mampu untuk memfailkan kesemua kes di bawah akta tersebut di mahkamah.

Beliau berkata, akta tersebut dilihat bersifat kejam kerana tahanan tidak boleh diadili mengikut proses undang-undang selain tahanan tidak boleh diikat jamin.

Menurutnya, SOSMA juga boleh disalah guna bagi tujuan politik walaupun akta berkenaan menyarankan bahawa tiada individu boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen itu semata-mata atas kepercayaan politik atau aktiviti politiknya.

"Jika kerajaan tidak mahu tuduh tahanan SOSMA ini di mahkamah, lepaskan mereka. Saya tidak kata semua yang ditahan di bawah SOSMA tidak bersalah, tetapi kenapa ditahan di bawah SOSMA? Kenapa tidak dituduh di bawah Kanun Keseksaan sahaja?

"Selain itu, saya lihat SOSMA ini sebagai akta yang tidak berperikemanusiaan. Oleh itu, saya gesa agar Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memansuhkan SOSMA di negara ini," katanya pada sidang akhbar di Komtar di sini pada Jumaat.

Ramasamy turut menggesa Anwar supaya melepaskan kira-kira 100 tahanan di bawah SOSMA di seluruh negara dan menuduh mereka di bawah kanun keseksaan segera.

"Akta ini tidak sepatutnya diwujudkan di Malaysia kerana ia tidak adil untuk tahanan, antaranya keluarga atau peguam tahanan tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan tahanan sehingga 48 jam selepas ditahan.

"Selain itu, di bawah akta ini juga, pihak berkuasa boleh menahan sesiapa sahaja tanpa waran yang mana, ia dibuat hanya dengan mempercayai atau mengesyaki bahawa individu tersebut terlibat dalam kesalahan keselamatan.

Artikel Berkaitan:

"Oleh demikian, saya mendesak Kerajaan Perpaduan agar menghapuskan SOSMA sama seperti kerajaan dahulu yang menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA)," katanya.

Beliau menambah, tahanan SOSMA telah melalui pelbagai masalah kesihatan, isu kebersihan dan impak negatif psikologi semasa berada dalam penjara.

"Kebanyakkan tahanan SOSMA ini berusia 40 tahun ke bawah dan mereka ini daripada keluarga berpendapatan rendah selain merupakan ketua keluarga yang menyara ahli keluarga yang lain," katanya.

Ramasamy sebelum itu bertemu dengan ahli keluarga kepada 33 individu dari Kedah yang ditahan di bawah SOSMA sejak 2020.

Kata beliau, kesemua ahli keluarga tersebut bertemu dengannya adalah untuk meminta bantuan supaya tahanan yang ditahan diadili secara perundangan.

"Mereka ini mempunyai ahli keluarga yang ditahan atas pertuduhan yang berbeza di bawah SOSMA, tahanan sekarang berada di Alor Setar, Kedah. Seramai 14 daripada mereka mempunyai masalah kesihatan dan ada yang menghidap penyakit kronik.

"Mereka merayu agar kes difailkan supaya dapat membantu tahanan-tahanan tersebut secara perundangan selain membolehkan tahanan dibicarakan secara sah di mahkamah," katanya.