SOSMA penting jamin keselamatan negara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AKTA Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) diwujudkan, antara lainnya adalah untuk membendung aktiviti yang mengancam keselamatan negara.

Selain itu, SOSMA digubal bagi membendung aktiviti seseorang atau kumpulan yang mahu mengguling atau melemahkan negara, apatah lagi dunia hari ini berdepan ancaman baharu merentas sempadan.

Ia termasuklah membanteras keganasan terancang (kumpulan kongsi gelap) dan berjaya mengekang pemerdagangan orang serta penyeludupan migran.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersetuju untuk mengkaji semula peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Keputusan tidak popular itu mengundang kritikan banyak pihak selepas beliau dilaporkan dua kali menyuarakan pendapat untuk tidak meminda akta berkenaan.

Tindakan diambil selepas Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo meminta Saifuddin mempertimbangkan keputusan itu kerana ia bertentangan pendirian Pakatan Harapan (PH) yang tidak bersetuju dengan mekanisme dalam akta berkenaan.

Malah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh turut berpendapat peruntukan dalam SOSMA bakal dibincangkan serta dikaji semula berikutan terdapat pelbagai aspek dalam peruntukan tersebut menerima kritikan terutama isu mengehadkan pemberian jaminan.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyokong sekiranya kerajaan ingin mengkaji semula peruntukan SOSMA untuk penambahbaikan.

Artikel Berkaitan:

Beliau akan membantah sekiranya kerajaan mahu menghapuskan undang-undang tersebut dan berpendapat SOSMA patut dikekalkan kerana jika dihapuskan, Malaysia tidak akan ada undang-undang untuk menjaga keselamatan negara.

Pada Julai 2022, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin pernah membentangkan usul di Dewan Rakyat untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA.

Dalam pembentangan tersebut, Hamzah mengusulkan ia dilanjutkan lima tahun lagi mulai 31 Julai ini bagi membolehkan pihak berkuasa terus mengguna peruntukan kuasa khas mengikut subseksyen berkenaan.

Langkah tersebut akan membolehkan polis melanjutkan tempoh penahanan individu yang ditangkap dan ditahan mengikut SOSMA sehingga 28 hari.

Ketika membentangkan usul itu, Hamzah menegaskan Subseksyen 4(5) SOSMA perlu dilanjutkan bagi memberi tempoh mencukupi untuk polis melengkapkan siasatan dalam usaha menangani ancaman terhadap kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam.

Tegasnya, siasatan melibatkan kesalahan keselamatan khususnya jenayah keganasan dan jenayah terancang adalah rumit serta kompleks dan memerlukan masa untuk dilengkapkan.

Hamzah berkata, lanjutan masa itu diperlukan polis bagi mendapatkan keterangan individu ditahan ketika pengumpulan bukti bagi tujuan pendakwaan termasuk pengesanan rakan subahat yang masih bebas.

Untuk pengetahuan, SOSMA membolehkan seorang pegawai polis boleh tanpa waran menangkap dan menahan mana-mana pihak yang berkenaan dengannya jika dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan.

Selain itu, jaminan tidak boleh diberikan kepada seseorang yang dituduh atas kesalahan keselamatan dan semua kesalahan keselamatan hanya boleh dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi.

Namun SOSMA berbeza dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan oleh kerajaan pada 22 Jun 2012 kerana prosedurnya lebih ketat dan tidak boleh digunakan untuk membuat tahanan politik.

Kesalahan yang ada dalam Jadual Pertama SOSMA jelas merupakan kesalahan-kesalahan besar yang melibatkan keselamatan yang mustahil boleh diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

Tidakkah kita terfikir bahawa penangkapan suspek akan menyebabkan ahli kumpulan yang lain akan melarikan diri atau menghapuskan bukti?

Begitu juga dengan proses menyiasat jenayah penyeludupan yang melibatkan rangkaian yang luas sehingga merentas sempadan.

Justeru, keadilan perlu dilihat dalam konteks lebih luas.

Oleh yang demikian, SOSMA perlu dikekalkan kerana keselamatan negara dan rakyat secara keseluruhan perlu diberi keutamaan.

* Izwan Rozlin ialah wartawan Sinar Harian