Exco kesal program dibatalkan, dakwa kerana perbezaan politik

Hantaran dimuat naik Wan Sukairi di laman Facebooknya pada Khamis.
Hantaran dimuat naik Wan Sukairi di laman Facebooknya pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Exco Terengganu meluahkan rasa kesal setelah program yang dijadualkan untuk dirasmikan oleh beliau pada Khamis diarah batal atas alasan perbezaan politik antara pusat dan negeri.

Exco Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia berlaku ketika beliau tiba untuk merasmikan Akademi Hoki Terengganu di sebuah sekolah di Padang Midin di sini.

"Selepas agihan limau kepada masyarakat Cina, saya dijadualkan untuk merasmikan Akademi Hoki Terengganu yang dijadualkan diadakan di situ. Sebaik tiba di sekolah, saya dapati tiada sebarang tanda adanya majlis, saya ke padang hoki namun tiada seorang pun di situ.

"Pegawai saya kemudian menghubungi pihak penganjur dan dia bersungguh-sungguh meminta maaf kepada saya. Dia memaklumkan bahawa program itu telah diarahkan untuk dibatalkan pada petang Rabu serta tidak dibenarkan untuk diadakan di sekolah itu kerana kini kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan adalah dari parti yang berbeza," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Perkara itu turut dikongsikan Wan Sukairi menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Khamis.

Menurut Wan Sukairi, perkara itu pertama kali berlaku itu dan hasrat beliau untuk memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk sukan hoki di Terengganu termasuk program pembangunan Akademi Hoki yang bakal diadakan di sekolah itu tidak kesampaian.

Katanya, peruntukan itu diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ketika mesyuarat mingguan Exco yang dipengerusikan Menteri Besar pada Rabu.

Dalam pada itu, Wan Sukairi berkata, beliau tidak menyalahkan sesiapa dalam hal itu cuma meminta agar pihak kementerian berkaitan memastikan supaya perkara sama tidak berulang memandangkan penglibatan dalam sukan turut melibatkan pelajar sekolah dan universiti.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak salahkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam isu ini, cuma mereka perlu pastikan ia tidak berlaku lagi jika benar-benar mahu jadikan bidang sukan merentasi sempadan politik demi kebaikan sukan di negara kita," katanya.

Ujar Wan Sukairi, 'slogan' tiada politik dalam sukan perlu diselaraskan kepada semua kementerian supaya polisi itu terpakai untuk semua bukan hanya melibatkan KBS.

"Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah pemegang taruh yang sangat penting dan perlu juga dilibatkan sekali dengan polisi tiada politik dalam sukan termasuk di premis-premis mereka seperti sekolah dan kampus supaya karenah birokrasi seumpama itu tidak lagi berulang.

"Saya hanya mahu melihat kerajaan pusat dan kerajaan negeri bersama-sama mendukung hasrat sukan untuk semua dan menjadikan Malaysia sebagai negara yang benar benar cemerlang dalam sukan sehingga mampu melahirkan atlet yang bertaraf dunia," katanya.