'Pak Arab' tokan ganja diberkas

Wan Kamarul Azran (tiga dari kiri) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas
Wan Kamarul Azran (tiga dari kiri) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas
A
A
A

SEPANG - Kegiatan sebuah sindiket pengedaran dadah jenis ganja terbongkar selepas seorang lelaki dari Timur Tengah yang juga dalan utama sindiket dicekup dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Bandar Sierra 16, Puchong pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menemui sebanyak 221 kilogram (kg) dadah jenis ganja yang disorok di kediaman berkenaan dan dalam sebuah kereta yang diletakkan di kawasan parkir kondominium terbabit.

Menurutnya, pasukan serbuan menemui beberapa beg mengandungi leraian bunga ganja, ketulan mampat daun ganja di dalam rumah berkenaan dan 213 ketulan mampat daun ganja di disorokkan dalam kereta berkenaan.

Wan Kamarul Azran menunjukkan pek mengandungi bunga ganja
Wan Kamarul Azran menunjukkan pek mengandungi bunga ganja

"Suspek yang berusia 23 tahun masuk menggunakan visa pelancong yang telah tamat tempoh pada 17 Januari dan dipercayai aktif mengedar serta menjual dadah di sekitar Lembah Klang sejak empat bulan lalu.

"Suspek hanya menjual kepada kenalan terdekat dan pelanggan sindiket kebanyakannya terdiri daripada warga asing dari negara asalnya di Timur Tengah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini pada Khamis.

Wan Kamarul Azran berkata, nilai keseluruhan dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM 663,798 dan suspek dipercayai menyewa rumah berkenaan sekitar RM1,250 untuk dijadikan sebagai stor simpanan dadah terbabit.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, suspek dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari negeri di utara sebelum diedarkan kepada tokan di sekitar Lembah Klang pada kadar RM3,000 bagi setiap satu kg dedaun kering ganja.

Artikel Berkaitan:

Antara ganja yang dirampas dalam serbuan berkenaan
Antara ganja yang dirampas dalam serbuan berkenaan

"Hasil soal siasat, suspek didapati pernah menuntut di sebuah kolej swasta sejak tahun 2018 hingga 2020 sebelum masuk semula ke dalam negara menggunakan visa pelancong sekitar empat bulan lalu.

"Kita juga sedang mengesan saki baki sindiket yang merupakan rakan senegara suspek yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah berkenaan," katanya.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup termasuk sebatan.