34 ahli sindiket penipuan dalam talian diberkas

Antara barangan yang dirampas disyaki digunakan dalam menjalankan kegiatan sindiket penipuan tersebut.
Antara barangan yang dirampas disyaki digunakan dalam menjalankan kegiatan sindiket penipuan tersebut.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 34 individu ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan penipuan dalam talian di sebuah premis di Jalan Tun Razak di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu berkata, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman telah menahan 24 warga tempatan, lapan warga China dan masing-masing seorang warga Filipina dan Indonesia.

"Siasatan awal mendapati kesemua ahli sindiket menawarkan pelaburan mata wang kripto menggunakan platform ‘multi level marketing’ dengan memuat turun aplikasi melalui pautan yang diberikan bagi tujuan pelaburan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ashari berkata, kesemua individu yang ditahan itu berusia 21 hingga 68 tahun.

Menurutnya, mereka berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan dan pengurus dengan bayaran gaji sebanyak RM2,500 hingga RM15,000 sebulan.

"Kita turut merampas tujuh unit komputer, tujuh unit komputer riba, tujuh unit Ipad dan 49 unit telefon bimbit yang disyaki digunakan dalam menjalankan kegiatan sindiket penipuan tersebut," katanya.

Beliau berkata, sindiket itu telah beroperasi selama dua bulan di sekitar ibu kota.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Ashari berkata, orang ramai dinasihatkan jangan mudah percaya dengan tawaran daripada mana-mana pihak yang tidak dikenali.

"Sentiasa berwaspada dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum memuat turun sebarang aplikasi atau fail daripada sumber yang tidak sah.

"Sila laporkan maklumat berkenaan sindiket penipuan melalui National Scam Response Center (NSRC) di talian 997, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585, CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/ 1599, WhatsApp CCID Infoline di talian 013-2111 222 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.