Sindiket judi dalam talian tumpas, tujuh ditahan

Kok Chin (tiga dari kiri) bersama barang rampasan dalam dua serbuan berhubung kes judi dalam talian.
Kok Chin (tiga dari kiri) bersama barang rampasan dalam dua serbuan berhubung kes judi dalam talian.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pusat panggilan judi dalam talian apabila menahan tujuh individu di tiga daerah berasingan di negeri ini, minggu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, bertindak atas maklumat, polis menyerbu dua premis di Bayan Baru pada Jumaat lalu.

Menurutnya, serbuan pertama dibuat di sebuah kondominium dengan penahanan lima orang termasuk seorang wanita.

"Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan haram tersebut. Selepas soal siasat dijalankan, kita menyerbu sebuah premis lagi yang terletak berhampiran lokasi kedua.

"Tiada penghuni di situ tetapi polis berjaya merampas pelbagai peralatan untuk bermain judi," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini pada Selasa.

Beliau menambah, polis turut menahan dua lelaki lagi di Butterworth dan Perai pada Ahad lalu.

"Siasatan mendapati, sindiket itu aktif sejak sebulan lalu dan mampu mengaut kira-kira RM100,000 sehari dan RM3 juta sebulan.

“Sindiket itu bukan sahaja mensasarkan pelanggan tempatan dan negara jiran. Modus operandi mereka adalah menggunakan aplikasi seperti Telegram, WeChat dan WhatsApp untuk mempromosikan pelbagai permainan judi dalam talian.

"Transaksi antara pelanggan dan sindiket itu dipercayai menggunakan beberapa akaun bank tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Kok Chin berkata, siasatan lanjut juga mendapati semua transaksi urus niaga kegiatan haram itu menggunakan akaun bank suspek keenam yang ditahan di Butterworth.

“Kita masih mengesan tiga lagi suspek yang dipercayai dalang kepada sindiket itu. Semakan juga menunjukkan ahli sindiket, terutamanya lima suspek pertama dibayar antara RM1,600 dan RM2,000 sebulan.

"Dua daripada tujuh suspek berusia 20 hingga 30an itu mempunyai rekod lampau berkaitan perjudian. Antara yang dirampas adalah 34 telefon bimbit, lima kad akses rumah, lima unit komputer, 10 monitor komputer, surat perjanjian, lima buah kereta, tiga unit kamera litar tertutup dan wang tunai berjumlah RM15,200," katanya.

Kok Chin berkata, kesemua mereka kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 4(1) (a), (b), (c) dan (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Dalam kes berlainan, beliau berkata, polis menahan 12 individu berusia antara 50 dan 80-an dipercayai terbabit dalam kegiatan bookie di sebuah pondok di Butterworth Ahad lalu.

Beliau berkata, polis merampas banyak barangan seperti jadual lumba kuda dan slip pertaruhan, 12 telefon bimbit, empat motosikal dan wang tunai berjumlah RM7,321.

Kesemua mereka direman sehingga Selasa bagi membantu siasatan.