Dua pemancing dikhuatiri hilang ditemui selamat

Mangsa yang dikhuatiri hilang ditemui selamat oleh orang awam. - Foto Maritim Malaysia
Mangsa yang dikhuatiri hilang ditemui selamat oleh orang awam. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

KUANTAN - Dua pemancing yang dikhuatiri hilang selepas tidak pulang seperti dijadualkan Isnin lalu, ditemukan selamat namun dalam keadaan lemah, kira-kira jam 2.30 petang, Rabu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan setelah sub centre penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima panggilan daripada Balai Polis Rompin memaklumkan dua pemancing berkenaan ditemui orang awam di Teluk Juara, Pulau Tioman.

"Mangsa, Chia Swee Kwong, 49, dan Zulfahmi Izzudin Gan Abdullah, 45, merupakan pekerja sebuah resort dikatakan telah keluar memancing dengan menaiki bot fiber dari Teluk Juara dan kebiasaannya akan pulang pada hari sama.

"Namun usaha menjejaki mereka menemui jalan buntu selepas telefon bimbit dua pemancing itu gagal dihubungi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau memberitahu, bagaimanapun, pemilik resort itu, Ooi Boon Kun, 59, mengesahkan kedua-dua lelaki itu telah ditemui dan dibawa ke Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman bagi rawatan.

Jelasnya, mangsa memaklumkan bot mereka kehabisan minyak dan dipukul ombak lalu karam.

"Kedua-dua mangsa terselamat kerana memakai jaket keselamatan dan berenang menuju ke daratan yang berdekatan," kata beliau.

Sehubungan itu, Kamal Ariffin mengingatkan orang ramai dan penduduk sekitar supaya berhati-hati dan berwaspada apabila berada di laut dengan mematuhi undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan musim tengkujuh masih lagi belum berakhir dengan laut bergelora dan angin kuat.

"Sebarang maklumat berkaitan kejadian kecemasan dan kegiatan jenayah di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999,"katanya.