Separuh badan, kedua-dua tangan mangsa hilang dibaham buaya

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tidak sempurna akibat dibaham buaya di Sungai Rawod di Ladang Linbar.
Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tidak sempurna akibat dibaham buaya di Sungai Rawod di Ladang Linbar.
A
A
A

BELURAN - Mayat mangsa serangan buaya di Sungai Rawod, Ladang Linbar 2 di sini sudah ditemui namun dalam keadaan tidak sempurna.

Mayat Rudi Amiruddin, 28, ditemui pada jam 10.30 pagi Khamis dalam keadaan terapung iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dibaham buaya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Beluran Edoen Macheal berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga dimulakan pada jam 6.45 pagi dengan bantuan daripada pelbagai agensi keselamatan serta penduduk kampung.

"Mangsa akhirnya berjaya ditemui dalam keadaan terapung dan tidak sempurna iaitu dari bahagian pusat sehingga kaki hilang manakala kedua-dua tangan juga turut hilang dipercayai telah dibaham buaya mengikut pengakuan saksi yang turut berada di lokasi.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi segera ditamatkan pada jam 11.30 pagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan mangsa yang juga pekerja ladang hilang selepas dibaham buaya ketika sedang mencuci tangan dan kakinya kira-kira jam 12.30 tengah hari Selasa.