Pesuruhjaya kanak-kanak tidak bertindih bidang kuasa KPWKM

Nancy berucap pada Majlis Perasmian Sesi Townhall Perkhidmatan Kanak-Kanak (Pemeliharaan dan Perlindungan) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 2023, pada Rabu. - Foto Bernama
Nancy berucap pada Majlis Perasmian Sesi Townhall Perkhidmatan Kanak-Kanak (Pemeliharaan dan Perlindungan) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 2023, pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kewujudan Pesuruhjaya Kanak-Kanak di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tidak bertindih dengan bidang tugas Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), kata Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata, sebaliknya pesuruhjaya berkenaan akan memberi manfaat kepada kepada kementeriannya, serta agensi-agensi kerajaan yang terbabit dalam hal ehwal dan kebajikan kanak-kanak seperti Kementerian Dalam Negeri atau Kementerian Pelajaran.

"Kami akan menjalankan tugas seperti biasa. Jadi tidak ada pertindihan (bidang tugas) malah boleh membantu dari segi semak dan imbang untuk kami (KPWKM),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sesi dialog awam Perkhidmatan Kanak-Kanak (Pemeliharaan dan Perlindungan) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di KPWKM, di sini pada Rabu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu mengumumkan Pesuruhjaya Kanak-Kanak dilantik menganggotai Suhakam berkuat kuasa serta-merta dalam usaha menangani masalah penderaan dan sosial melibatkan kanak-kanak.

Sementara itu, Nancy berkata, seramai 18,000 pegawai sosial diperlukan bagi mengendalikan kes-kes berkaitan perlindungan dan pemulihan kanak-kanak di seluruh negara.

Menurutnya, seramai 1,120 orang Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPPM) Gred S29 telah dilantik secara kontrak setakat ini bermula 2021.

"Kajian mendapati seorang pegawai sosial mengendalikan kes dengan nisbah 1:108 bagi kes-kes perlindungan dan pemulihan kanak-kanak, keganasan rumah tangga, taman asuhan kanak-kanak (Taska), pusat jagaan... ini tidak mencukupi apabila pengkaji mencadangkan nisbah yang ideal adalah 1:15 hingga 20 kes,” katanya.

Setakat November lepas, JKM telah mengendalikan sebanyak 5,572 kes yang melibatkan penderaan fizikal, seksual, emosi dan pengabaian, katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: