Pembinaan blok wanita, kanak-kanak HTAA dalam masa terdekat

Dr Zaliha (depan dua dari kiri) diberi taklimat mengenai kemudahan disediakan di Unit Kecemasan HTAA pada lawatan kerja beliau ke hospital itu pada Isnin.
Dr Zaliha (depan dua dari kiri) diberi taklimat mengenai kemudahan disediakan di Unit Kecemasan HTAA pada lawatan kerja beliau ke hospital itu pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Projek pembinaan blok wanita dan kanak-kanak di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini akan dimulakan dalam masa terdekat.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kini dalam peringkat akhir bagi melantik kontraktor utama yang dijangka diselesaikan sebelum penghujung Jun ini.

Menurutnya, projek dengan kos RM605 juta itu melibatkan pertambahan 376 katil dan beberapa kemudahan utama seperti Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Unit Rawatan Rapi (ICU), Wad Pergantungan Tinggi (HDW), klinik pakar, dewan bedah, Pusat Bekalan Steril (CSSD) dan pelbagai kemudahan sokongan lain.

"Apabila siap kelak, kemudahan ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 564,000 penduduk daerah Kuantan.

"Selain itu, kerajaan juga telah meluluskan peruntukan berjumlah RM784,000 kepada HTAA untuk melaksanakan pembaikan kecil dan pembelian peralatan (bukan perubatan)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke HTAA sempena lawatan kerja ke Pahang pada Isnin.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus.

Dr Zaliha berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM1.12 bilion bagi tujuan baik pulih dan menaik taraf kemudahan kesihatan di negeri ini.

"Ia termasuk membaiki dan menaik taraf klinik daif, peralatan perubatan dan pembaikan bangunan," jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, kerja awal untuk projek pembinaan Hospital Maran telah dimulakan termasuk mengenal pasti kesesuaian tapak baharu yang dicadangkan.

Menurutnya, lawatan ke tapak baharu telah dilakukan pihak JKNP bersama wakil Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Teknikal pada 23 Mei lalu.

"JKNP selanjutnya akan mendapat laporan penilaian tapak daripada pihak JKR selain mendapatkan surat pengesahan status tapak dari Pejabat Tanah dan Daerah Maran," ujarnya.

Tambah beliau, pembinaan hospital baharu di negeri akan diteliti berdasarkan keperluan memandangkan pihaknya mendapat permohonan terutama melalui ahli Parlimen untuk kemudahan tersebut.

"Perkara ini perlu diteliti berdasarkan keperluan kerana kita ada sistem hospital kluster yang boleh menawarkan khidmat kesihatan untuk hospital lain," katanya.